NOOR ZAITUN sekeluarga bergambar di luar Istana Buckingham selepas menerima pingat Queen's Prize daripada Ratu Elizabeth, semalam.
LONDON: Pensyarah Fakulti Sains Kejuruteraan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Noor Zaitun Yahaya adalah antara wakil Institute for Transport Studies (ITS) Universiti Leeds, di sini menerima pingat Hadiah Ulang Tahun Queen untuk Pengajian Tinggi 2009 (Queen's Prize) daripada Ratu Elizabeth di Istana Buckingham, semalam.
Noor Zaitun, 44, yang juga pelajar Doktor Falsafah (PhD) di ITS Universiti Leeds turut menerima sijil untuk kumpulan penyelidikannya dan universiti itu bagi kajian mereka mengenai sistem pemantauan dan pengawalan pencemaran udara di kawasan bandar.
Anak kelahiran Perak ini adalah antara 10 wakil Universiti Leeds, termasuk Pengarah ITS, Prof Mark Wardman dipilih untuk menerima dan membawa pulang anugerah yang julung-julung kali diterima universiti itu.
Berikutan kejayaan itu, ITS dibenarkan menggunakan logo Queen's Prize itu selama empat tahun. Anugerah yang diberi setiap dua tahun ini adalah pengiktirafan terhadap sumbangan cemerlang universiti dan kolej di United Kingdom untuk kehidupan intelektual, ekonomi, kebudayaan dan sosial.
Noor Zaitun adalah antara 40 pelajar PhD di institut berkenaan. ITS Universiti Leeds adalah pusat kajian pengangkutan terbesar di Eropah dan menjadi pusat rujukan global.
Bercakap kepada Berita Minggu selepas upacara penyampaian anugerah selama satu setengah jam itu, Noor Zaitun berkata, Ratu Elizabeth berminat mengenai Malaysia dan bertanyakan mengenai bidang penyelidikannya.
"Saya menerangkan kepada baginda bahawa penyelidikan saya ialah mengenai pengangkutan dan pencemaran udara. Suami baginda, Duke of Edinburough dan puteri mereka, Princess Anne, juga berminat mengetahui mengenai Malaysia dan sistem pendidikannya.
"Saya memberitahu betapa bangganya saya dapat mewakili Malaysia dan sebagai tetamu pada upacara berkenaan," kata Noor Zaitun.
Noor Zaitun yang berbaju kurung sutera merah ternyata menarik perhatian ramai ketika upacara itu berlangsung.
Turut meraikan saat bersejarah itu ialah suaminya, Haji Fakharuldin Ishak, 45; dan keenam-enam anak mereka, Nur Izzah, 18; Zatul Iffah, 16; Abdullah Azam, 14; Muhammad Al Fateh, 12; Nur Qistina, 10; dan Abbas Azizi, 8.
Noor Zaitun dijangka menamatkan pengajiannya dalam tempoh satu setengah tahun lagi. Sebagai pelajar cemerlang sepanjang pengajiannya, Noor Zaitun mendapat tajaan Bank Dunia untuk pengajian Ijazah Sarjana Mudanya (MA) yang juga membolehkannya datang ke London pada 1990 untuk meneruskan pengajiannya.
Dipetik daripada: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/BeritaUtama/20100221001417/Article/index_html
Nota: Kecemerlangan yang diperoleh menunjukkan bahawa warga Malaysia mampu memperoleh kecemerlangan akademik di peringkat global. Pengiktirafan ini diharapkan dapat menyuntik semangat warga Malaysia khususnya para pelajar dalam arena pendidikan agar sentiasa memacu kecemerlangan.
Dipetik daripada: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/BeritaUtama/20100221001417/Article/index_html
Nota: Kecemerlangan yang diperoleh menunjukkan bahawa warga Malaysia mampu memperoleh kecemerlangan akademik di peringkat global. Pengiktirafan ini diharapkan dapat menyuntik semangat warga Malaysia khususnya para pelajar dalam arena pendidikan agar sentiasa memacu kecemerlangan.
No comments:
Post a Comment