Saturday, November 22, 2008

Mesra Usia Emas dan Tabung Warisan Anak Selangor

En Ramlan, Pen. Pegawai Pertanian Daerah K.Langat memberikan
taklimat tentang Program Bumi Hijau


Warga emas di kaunter membantu memberi maklumat untuk diisi
oleh petugas JKKK pada borang Mesra Usia Emas

Bermula pada jam 8.30 pg. warga Kampung Jenjarom mula berpusu-pusu datang untuk mendaftar sebagai warga emas, ahli Bumi Hijau, Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) dan Ibu Tunggal. Sesuai dengan usaha Kerajaan Negeri Selangor Ke Arah Negeri Berkebajikan, JKKK Kg Jenjarom mengambil inisiatif untuk mengadakan Hari Bersama Pelanggan bagi mendaftarkan warga emas berusia 60 tahun ke atas, anak-anak yang lahir pada tahun 2008 untuk mendapatkan insuran pendidikan, ibu tunggal dan menyertai Kempen Bumi Hijau dengan kerjasama Pejabat Pertanian Kuala Langat. Untuk tujuan tersebut 8 kaunter telah dibuka dan sambutan warga kampung amat menggalakkan. Tiga mesin pencetak disediakan bagi memudahkan urusan mencetak kad pengenalan semasa pendaftaran. JKKK juga telah menyediakan minuman dan sedikit kuih-muih untuk warga kampung yang datang dalam majlis ini. Program ini berakhir kira-kira jam 12.30 tgh. Untuk warga SMKTPG khususnya dan semua warga Negeri Selangor yang mempunyai ibu bapa berusia 60 tahun ke atas atau anak-anak yang lahir pada tahun 2008 dan seterusnya bolehlah daftarkan mereka untuk Program Mesra Usia Emas dan TAWAS. Maklumat lanjut berhubung program tersebut adalah seperti di bawah:

SOALAN LAZIM

MESRA USIA EMAS

1. Di mana BORANG dan bagaimanakah cara untuk menyertai Mesra Usia Emas? (dikemaskini)

Bermula 1 Oktober 2008, pemohon hendaklah mendapatkan Borang Mesra Usia Emas di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan pemohon tinggal. Sila lihat senarai Pusat Khidmat DUN

2. Apakah tujuan program Mesra Usia Emas ini dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri?

Program Mesra Usia Emas ini bertujuan untuk memberi manfaat dalam bentuk perlindungan bernilai RM 2,500.00 kepada warga emas yang berusia 60 tahun ke atas (yang telah mendaftar secara rasmi), selepas beliau disahkan meninggal dunia. Program ini membuktikan keprihatinan yang tinggi Kerajaan Negeri terhadap rakyatnya, khususnya golongan warga emas.

3. Bilakah tarikh program Mesra Usia Emas ini akan beroperasi secara rasmi?

Program Mesra Usia Emas ini dijangka akan beroperasi sekitar Oktober 2008, dan tertakluk kepada sebarang pengumuman rasmi dari semasa ke semasa . Ia telah dilancarkan secara rasmi pada 20 Jun 2008 yang lalu. Manakala Logo rasmi Mesra Emas pula (seperti yang telah dipaparkan di Laman Web Rasmi Kerajaan Negeri) telah dilancarkan pada 30 Ogos 2008, sempena Sambutan Perayaan Ambang Merdeka, dan Perbarisan dan Perarakan Kemerdekaan ke-51 Peringkat Negeri Selangor

4. Siapakah kumpulan sasar yang boleh menyertai program Mesra Usia Emas ini?

Program ini terbuka kepada semua warga emas di Negeri Selangor yang telah berumur 60 tahun ke atas, DAN

- Lahir di Negeri Selangor ATAU

- Lahir di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebelum 1 Februari 1974 ATAU

- Telah bermastautin di Negeri Selangor sekurang-kurangnya 15 tahun.

5. Apakah manfaat atau faedah yang diperoleh daripada menyertai program ini? (dikemaskini)

Dalam tempoh 24 jam selepas menerima laporan kematian ahli, ADUN atau wakilnya akan menyampaikan sumbangan wang tunai berjumlah RM1,000 kepada penama yang didaftarkan. Baki RM1,500 akan disampaikan kepada penama yang didaftarkan dalam tempoh 60 hari berikutnya.

6. Siapakah yang boleh membuat tuntutan ke atas manfaat perlindungan tersebut? (dikemaskini)

Tuntutan hendaklah dibuat oleh penama, seperti yang dinyatakan di dalam Borang Mesra Usia Emas semasa pendaftaran dibuat.

Penama boleh terdiri daripada individu seperti suami, isteri, anak, saudara, kenalan atau sesiapa sahaja. Ia juga boleh merupakan sebuah pertubuhan seperti badan kebajikan, rumah orang tua-tua, rumah anak yatim, rumah ibadat seperti surau, masjid, tokong, kuil, gereja dan sebagainya.


Kemaskini pada 21 November 2008

Sumber:http://www.selangor.gov.my/main.php?Content=vertsectiondetails&VsItemID=242&VertSectionID=4&CurLocation=353&DC=



PERTANYAAN-PERTANYAAN BERKAITAN TABUNG WARISAN ANAK SELANGOR (TAWAS)

1. Apakah yang dimaksudkan dengan TAWAS?
TAWAS adalah singkatan kepada Tabung Warisan Anak Selangor. Tabung ini diwujudkan selaras dengan tawaran Kerajaan Negeri untuk membuka tabung permulaan RM100 bagi setiap anak kelahiran Selangor.

2. Apakah faedah yang akan diterima daripada tabung ini?
Faedah-faedah yang akan diterima adalah seperti berikut:-
a) Setiap anak kelahiran akan diberi RM100 melalui pelaburan di dalam tabung ini.
b) Anak-anak akan dilindungi insurans sehingga berusia 18 tahun.
c) Pada usia 18 tahun, anak-anak ini berpeluang menerima RM1,500 seorang hasil daripada caruman di dalam pelaburan dana ini.

3. Apakah syarat-syarat permohonan tabung ini?
Syarat-syarat permohonan adalah seperti berikut:-
a) Permohonan adalah terbuka kepada Warganegara Malaysia sahaja dan tertakluk kepada tafsiran anak Selangor. Bagi tujuan TAWAS tafsiran anak Selangor adalah seperti berikut:-
“Anak Selangor” bermaksud rakyat D.Y.M.M. Sultan Selangor yang memenuhi kriteria seperti berikut:-
• Warganegara Malaysia; dan
• Lahir di Negeri Selangor atau di luar Negeri Selangor; dan
• Ibu atau bapa lahir di Negeri Selangor; atau
• Ibu atau Bapa lahir di Kuala Lumpur sebelum 1 Februari 1974.
b) Kelahiran mulai 1 Januari 2008 adalah layak untuk memohon. Permohonan hendaklah dikemukakan dalam tempoh enam bulan dari tarikh kelahiran dan bagi kelahiran sebelum tarikh pelancaran, permohonan hendaklah dikemukakan dalam tempoh 6 bulan dari tarikh pelancaran.

4. Bagaimana prosedur permohonan tabung ini?
Prosedur permohonan adalah seperti berikut:-
a. Pendaftaran bagi setiap anak adalah RM10.
b. Di peringkat permulaan, Pusat Pendaftaran akan dibuka pada waktu pejabat (8.00 pagi – 4.30 petang) di Tingkat 5, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, 40000 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.
c. Setiap pendaftaran hendaklah dibuat oleh Ibubapa/penjaga dengan menyertakan dokumen sokongan (asal dan salinan) berikut:
(i) Sijil kelahiran / Mykid anak; dan
(ii) Kad Pengenalan Ibubapa/penjaga.
d. Setiap pendaftaran akan diberi Sijil Pelaburan yang perlu disimpan dengan baik sebagai bukti caruman di dalam Tabung ini.

5. Bagaimana sekiranya pemohon ingin membuat tuntutan atau mencairkan pelaburan?
Tuntutan boleh dibuat seperti berikut:-
a. Setiap pencarum boleh memilih untuk mencairkan pelaburan pada:
(i) Ulangtahun Pertama pada jumlah RM110.00;

ATAU

(ii) Ulangtahun ke-18 pada jumlah RM1,500.00.

b. Bagi Ibubapa/penjaga yang memilih pilihan (ii), pihak Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) akan menghubungi pencarum pada ulangtahun ke-18 untuk urusan bayaran caruman berjumlah RM1,500.00.

c. Pihak Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) juga berkemungkinan akan mengumumkan pembayaran bonus pada setiap 5 tahun selama tempoh caruman di dalam Tabung ini.

d. Bayaran akan dibuat kepada pencarum dengan hanya mengemukakan Sijil Pelaburan sebagai bukti caruman di dalam Tabung ini.

6. Bilakah tarikh pelaksanaannya?
31 Ogos 2008

Sumber:http://www.selangor.gov.my/main.php?Content=vertsectiondetails&VsItemID=239&VertSectionID=4&CurLocation=353&DC=

1 comment:

Khai2020 said...

Info yang menarik. Di Pahang takde buat ke?