Sunday, November 30, 2008

Keadaan Hj Jailani di Wad G2 HBTAR

Kira-kira jam 1.00 ptg saya sampai di wad G2 HBTAR, Klang melawat Hj Jailani. Sampai di wad yang menempatkan pesakit denggi menunjukkan memang ramai pesakit di dalam wad tersebut. Masuk ke dalam wad saya tercari-cari Hj Jai. Ramai rupanya pesakit denggi dalam wad. Dari jauh ternampak Hj Jai terbaring di katil sambil ditemani isteri. Setelah bersalam saya bertanyakan keadaan beliau. Hj Jai dan isteri menunjukkan kesan bengkak pada kakinya dan kulit yang kemerahan yg menurut isterinya kesan pendarahan dalam kulit. Bermakna Hj Jai kena denggi berdarah. Menurutnya lagi, kesan lain ialah sakit pada sendi-sendi seperti lutut, sendi kaki dan tapak kaki yang sakit bila berjalan. Kini, Hj Jai semakin sembuh jika dibandingkan semasa mula-mula dimasukkan ke wad iaitu pada 25 Nov 2008 (Selasa). Sama-samalah kita berdoa agar Hj Jai cepat sembuh. Insyaallah.
Sebagai pengajaraannya, kita perlu sentiasa berwaspada terhadap penyakit demam denggi kerana penyakit ini tidak mengira mangsa sama ada dari segi warna kulit mahupun kedudukan seseorang. Malah menurut Hj Jai, seramai 47 orang di taman perumahannya sudah terkena penyakit ini.

Maklumat berhubung demam denggi:

S1 : Apakah demam denggi

Demam denggi adalah penyakit yang disebabkan oleh virus denggi. Virus denggi terbahagi kepada empat jenis iaitu Den-1, Den-2, Den-3 dan Den-4. Nyamuk Aedes aegypti adalah pembawa virus denggi. Penyakit demam denggi dijangkiti apabila nyamuk Aedes yang membawa virus denggi menggigit pesakit. Tempoh pengeraman (inkubasi) setelah seorang sihat diserang dengan virus ialah lebih kurang 7 hari.

S2 : Apakah tanda-tanda demam denggi?

Tanda-tanda demam denggi berbeza mengikut keadaan iaitu, (A) demam denggi (klasik) atau (B) demam denggi berdarah (Dengue Haemorrhagic Fever). WHO telah mengklasifikasikan demam denggi berdarah kepada Gred 1 hingga Gred 4.

Demam Denggi Klasik

Pada peringkat awal tanda-tandanya adalah tidak menentu; iaitu demam tinggi dengan tiba-tiba. Orang dewasa akan mengalami kesakitan yang teruk di bahagian tulang, otot dan mata. Kanak-kanak dan bayi hanya mendapat demam panas dan ruam sahaja. Jika pemeriksaan darah dijalankan ke atas pesakit didapati leukopenia (sel-sel putih kurang daripada 10,000/mm3) dan trombositopenia (platelet kurang daripada 100,000/mm3) berlaku.

Demam Denggi Berdarah (DHF)

Demam Denggi Berdarah boleh dibahagikan kepada empat gred mengikut Klasifikasi WHO

Gred 1 dan 2 (tanpa shock)

Penyakit ini bermula dengan demam yang tinggi dan mengecut selama 2-7 hari. Demam ini diiringi dengan tanda dan gejala lain seperti sakit kepala, muntah, kurang selera makan dan sakit perut. Pada peringkat ini, jika demam terlalu tinggi, kanak-kanak boleh mengidapi sawam demam (febrile convulsions).

Tanda-tanda pendarahan yang paling kerap ialah ujian Hess’s positif (lihat 58), mudah lebam dan berlakunya pendarahan dari tempat suntikan, hidung, gusi dan usus. Apabila suhu badan menurun ke normal, pesakit boleh mendapat ruam petekia (pendarahan dalam kulit yang berbintikl-bintik).

Pada peringkat demam, hati membengkak.

Dalam kes sederhana dan pertengahan, apabila demam menurun biasanya semua tanda-tanda pun surut. Apabila demam menurun, didapati sedikit pertukaran dalam kadar nadi dan tekanan darah. Ini menunjukkan sedikit gangguan berlaku dalam peredaran darah yang disebabkan oleh kebocoran kapilari. Biasanya pesakit akan sembuh dengan sendiri atau selepas pemberian terapi intravena.

Maklumat lanjut sila klik:

http://www.mpaeds.org.my/Nurse/dengue.htm

http://cvtampang.tripod.com/id59.html

http://www.salindah.com/farmasianis/pdf/denggi.pdf

Friday, November 28, 2008

Kampungku Banjir Lagi


Banjir telah melanda Kg Jenjarom lagi. Kira-kira 25 keluarga terlibat yang menyebabkan air memasuki rumah mereka. Paling terkesan ialah Tn Hj Lokman yang mengusahakan tanaman 2000 pokok cili dan sedang dalam proses menuai hasilnya. Tanaman cili tersebut dijangka akan rosak atau mati disebabkan banjir. Menurut Tn. Hj Lokman beliau mengeluarkan modal kira-kira RM14k untuk memulakan usaha penanaman cilinya yang mungkin akan musnah angkara banjir.
JKKK Kg Jenjarom merakamkan rasa penuh simpati kepada semua mangsa banjir. Semoga mereka tabah menghadapinya.

Kehadiran YB Abdullah Sani Ahli Parlimen Kuala Langat , YB Philip Tan ADUN Telok Datok, YB Hasiman ADUN Morib, Sdr Azmi Ahli Majlis Daerah K. Langat, Tn Hj Misnan Ketua Kampung Jenjarom, JKKK, dan orang perseorangan sedikit sebanyak memberi sokongan moral kepada mangsa banjir. Selain itu pihak YB dan JKKK akan mengusahakan bantuan yang sewajarnya kepada semua mangsa banjir.

Sumber: jkkkkgjenjarom.blogspot.com

Tuesday, November 25, 2008

Guru Baru SMKTPG

Cikgu Azhari







Cikgu Lee Lian
Warga SMKTP bertambah lagi dengan kehadiran 6 orang guru baru. Selamat datang diucapkan kepada Azhari Mohamed (amazhari.blogspot.com), Che Wan Rosida N.Hasan (shahjeehan.blogspot.com), N Shakirah Zawani Ja'afar (cikgushakirah.blogspot.com), Chaw Lee Lian (dear-lilian.blogspot.com), Aimi Nabihah Mohamad (cikguaimi.blogspot.com), dan Herdawati Selamat (cikguherda.blogspot.com) yang mendaftar sebagai guru SMKTPG pada 10 November 2008.
Hari ini juga mereka belajar membina blog daripada sifu blogger kita iaitu Cikgu Shila. Maknanya bertambahlah lagi blogger SMKTPG hari ini termasuk Cikgu Kowangid (kowangidtaupek.blogspot.com) dan Cikgu Nurul Hidayah (http://gbump06.blogspot.com/)
Tahniah kepada cikgu-cikgu kerana berjaya menghasilkan blog.

Saturday, November 22, 2008

Mesra Usia Emas dan Tabung Warisan Anak Selangor

En Ramlan, Pen. Pegawai Pertanian Daerah K.Langat memberikan
taklimat tentang Program Bumi Hijau


Warga emas di kaunter membantu memberi maklumat untuk diisi
oleh petugas JKKK pada borang Mesra Usia Emas

Bermula pada jam 8.30 pg. warga Kampung Jenjarom mula berpusu-pusu datang untuk mendaftar sebagai warga emas, ahli Bumi Hijau, Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) dan Ibu Tunggal. Sesuai dengan usaha Kerajaan Negeri Selangor Ke Arah Negeri Berkebajikan, JKKK Kg Jenjarom mengambil inisiatif untuk mengadakan Hari Bersama Pelanggan bagi mendaftarkan warga emas berusia 60 tahun ke atas, anak-anak yang lahir pada tahun 2008 untuk mendapatkan insuran pendidikan, ibu tunggal dan menyertai Kempen Bumi Hijau dengan kerjasama Pejabat Pertanian Kuala Langat. Untuk tujuan tersebut 8 kaunter telah dibuka dan sambutan warga kampung amat menggalakkan. Tiga mesin pencetak disediakan bagi memudahkan urusan mencetak kad pengenalan semasa pendaftaran. JKKK juga telah menyediakan minuman dan sedikit kuih-muih untuk warga kampung yang datang dalam majlis ini. Program ini berakhir kira-kira jam 12.30 tgh. Untuk warga SMKTPG khususnya dan semua warga Negeri Selangor yang mempunyai ibu bapa berusia 60 tahun ke atas atau anak-anak yang lahir pada tahun 2008 dan seterusnya bolehlah daftarkan mereka untuk Program Mesra Usia Emas dan TAWAS. Maklumat lanjut berhubung program tersebut adalah seperti di bawah:

SOALAN LAZIM

MESRA USIA EMAS

1. Di mana BORANG dan bagaimanakah cara untuk menyertai Mesra Usia Emas? (dikemaskini)

Bermula 1 Oktober 2008, pemohon hendaklah mendapatkan Borang Mesra Usia Emas di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan pemohon tinggal. Sila lihat senarai Pusat Khidmat DUN

2. Apakah tujuan program Mesra Usia Emas ini dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri?

Program Mesra Usia Emas ini bertujuan untuk memberi manfaat dalam bentuk perlindungan bernilai RM 2,500.00 kepada warga emas yang berusia 60 tahun ke atas (yang telah mendaftar secara rasmi), selepas beliau disahkan meninggal dunia. Program ini membuktikan keprihatinan yang tinggi Kerajaan Negeri terhadap rakyatnya, khususnya golongan warga emas.

3. Bilakah tarikh program Mesra Usia Emas ini akan beroperasi secara rasmi?

Program Mesra Usia Emas ini dijangka akan beroperasi sekitar Oktober 2008, dan tertakluk kepada sebarang pengumuman rasmi dari semasa ke semasa . Ia telah dilancarkan secara rasmi pada 20 Jun 2008 yang lalu. Manakala Logo rasmi Mesra Emas pula (seperti yang telah dipaparkan di Laman Web Rasmi Kerajaan Negeri) telah dilancarkan pada 30 Ogos 2008, sempena Sambutan Perayaan Ambang Merdeka, dan Perbarisan dan Perarakan Kemerdekaan ke-51 Peringkat Negeri Selangor

4. Siapakah kumpulan sasar yang boleh menyertai program Mesra Usia Emas ini?

Program ini terbuka kepada semua warga emas di Negeri Selangor yang telah berumur 60 tahun ke atas, DAN

- Lahir di Negeri Selangor ATAU

- Lahir di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebelum 1 Februari 1974 ATAU

- Telah bermastautin di Negeri Selangor sekurang-kurangnya 15 tahun.

5. Apakah manfaat atau faedah yang diperoleh daripada menyertai program ini? (dikemaskini)

Dalam tempoh 24 jam selepas menerima laporan kematian ahli, ADUN atau wakilnya akan menyampaikan sumbangan wang tunai berjumlah RM1,000 kepada penama yang didaftarkan. Baki RM1,500 akan disampaikan kepada penama yang didaftarkan dalam tempoh 60 hari berikutnya.

6. Siapakah yang boleh membuat tuntutan ke atas manfaat perlindungan tersebut? (dikemaskini)

Tuntutan hendaklah dibuat oleh penama, seperti yang dinyatakan di dalam Borang Mesra Usia Emas semasa pendaftaran dibuat.

Penama boleh terdiri daripada individu seperti suami, isteri, anak, saudara, kenalan atau sesiapa sahaja. Ia juga boleh merupakan sebuah pertubuhan seperti badan kebajikan, rumah orang tua-tua, rumah anak yatim, rumah ibadat seperti surau, masjid, tokong, kuil, gereja dan sebagainya.


Kemaskini pada 21 November 2008

Sumber:http://www.selangor.gov.my/main.php?Content=vertsectiondetails&VsItemID=242&VertSectionID=4&CurLocation=353&DC=



PERTANYAAN-PERTANYAAN BERKAITAN TABUNG WARISAN ANAK SELANGOR (TAWAS)

1. Apakah yang dimaksudkan dengan TAWAS?
TAWAS adalah singkatan kepada Tabung Warisan Anak Selangor. Tabung ini diwujudkan selaras dengan tawaran Kerajaan Negeri untuk membuka tabung permulaan RM100 bagi setiap anak kelahiran Selangor.

2. Apakah faedah yang akan diterima daripada tabung ini?
Faedah-faedah yang akan diterima adalah seperti berikut:-
a) Setiap anak kelahiran akan diberi RM100 melalui pelaburan di dalam tabung ini.
b) Anak-anak akan dilindungi insurans sehingga berusia 18 tahun.
c) Pada usia 18 tahun, anak-anak ini berpeluang menerima RM1,500 seorang hasil daripada caruman di dalam pelaburan dana ini.

3. Apakah syarat-syarat permohonan tabung ini?
Syarat-syarat permohonan adalah seperti berikut:-
a) Permohonan adalah terbuka kepada Warganegara Malaysia sahaja dan tertakluk kepada tafsiran anak Selangor. Bagi tujuan TAWAS tafsiran anak Selangor adalah seperti berikut:-
“Anak Selangor” bermaksud rakyat D.Y.M.M. Sultan Selangor yang memenuhi kriteria seperti berikut:-
• Warganegara Malaysia; dan
• Lahir di Negeri Selangor atau di luar Negeri Selangor; dan
• Ibu atau bapa lahir di Negeri Selangor; atau
• Ibu atau Bapa lahir di Kuala Lumpur sebelum 1 Februari 1974.
b) Kelahiran mulai 1 Januari 2008 adalah layak untuk memohon. Permohonan hendaklah dikemukakan dalam tempoh enam bulan dari tarikh kelahiran dan bagi kelahiran sebelum tarikh pelancaran, permohonan hendaklah dikemukakan dalam tempoh 6 bulan dari tarikh pelancaran.

4. Bagaimana prosedur permohonan tabung ini?
Prosedur permohonan adalah seperti berikut:-
a. Pendaftaran bagi setiap anak adalah RM10.
b. Di peringkat permulaan, Pusat Pendaftaran akan dibuka pada waktu pejabat (8.00 pagi – 4.30 petang) di Tingkat 5, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, 40000 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.
c. Setiap pendaftaran hendaklah dibuat oleh Ibubapa/penjaga dengan menyertakan dokumen sokongan (asal dan salinan) berikut:
(i) Sijil kelahiran / Mykid anak; dan
(ii) Kad Pengenalan Ibubapa/penjaga.
d. Setiap pendaftaran akan diberi Sijil Pelaburan yang perlu disimpan dengan baik sebagai bukti caruman di dalam Tabung ini.

5. Bagaimana sekiranya pemohon ingin membuat tuntutan atau mencairkan pelaburan?
Tuntutan boleh dibuat seperti berikut:-
a. Setiap pencarum boleh memilih untuk mencairkan pelaburan pada:
(i) Ulangtahun Pertama pada jumlah RM110.00;

ATAU

(ii) Ulangtahun ke-18 pada jumlah RM1,500.00.

b. Bagi Ibubapa/penjaga yang memilih pilihan (ii), pihak Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) akan menghubungi pencarum pada ulangtahun ke-18 untuk urusan bayaran caruman berjumlah RM1,500.00.

c. Pihak Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) juga berkemungkinan akan mengumumkan pembayaran bonus pada setiap 5 tahun selama tempoh caruman di dalam Tabung ini.

d. Bayaran akan dibuat kepada pencarum dengan hanya mengemukakan Sijil Pelaburan sebagai bukti caruman di dalam Tabung ini.

6. Bilakah tarikh pelaksanaannya?
31 Ogos 2008

Sumber:http://www.selangor.gov.my/main.php?Content=vertsectiondetails&VsItemID=239&VertSectionID=4&CurLocation=353&DC=

Thursday, November 20, 2008

Blogger terbaru SMKTPG

Pn. Rauziah kini merupakan salah seorang blogger SMKTPG. Selamat datang ke dunia BLOG!

http://rauzia.blogspot.com/

Wednesday, November 19, 2008

Hydrofuel

HYDROFUEL MALAYSIA

Baru-baru ini pihak kami telah mengadakan lawatan ke syarikat Hydrofuel milik Dr Halim.Dr Halim merupakan saintis yang pernah berkhidmat sebagai seorang ketua saintis sebuah syarikat telekomunikasi gergasi di Amerika Syarikat.

BAGAIMANA HYDROFUEL BERFUNGSI?
Hydrofuel merupakan proses elektrolisis yang menghasilkan gas Hydrogen.Air disalurkan daripada tangki 5 liter yang terletak di belakang kereta ke dalam bekas yang diletakkan di dalam enjin oleh pihak Hydrofuel.Bekas inilah merupakan nadi utama Hydrofuel bagi menghasilkan Hydrogen.Tangki 5 liter ini boleh digunakan untuk kegunaan sejauh 2000KM.Elektrolisis berlaku menggunakan 2 elektrod iaitu sebagai terminal positif dan negatif yang mempunyai perbezaan voltan mencukupi untuk meleraikan molekul air (H20) kepada H+H+O. Sumber tenaga adalah bateri 12 volt.

Proses elektrolisis ini menghasilkan gas Hydrogen dan disalur terus ke dalam enjin melalui sistem kemasukan udara “air-intake” dan melalui penapis udara “air filter” seperti biasa.Alat ini tidak akan menyebabkan enjin kereta anda rosak kerana gas Hydrogen hanya digunakan sebagai pemangkin pembakaran.Alat ini hanya boleh digunakan untuk kenderaan berkapasiti 2000cc kebawah.Untuk penggunaan 2000cc ke atas,masih lagi dalam peringkat kajian.Pemasangan alat ini di syarikat Hydrofuel cuma mengambil masa 3 hingga 4jam.

PAKEJ HYDROFUEL

Hydrofuel mempunyai 2 pakej.Iaitu Basic dan Advance.

1.Basic
Tanpa MySMART Fuel saver
Harga lebih kurang RM1300.
Bagi enjin karburetor.
Penjimatan sehingga 29%(Boleh ditingkatkan)

2.Advance
Lengkap dengan MySMART Fuel Saver
Harga lebih kurang RM2300
Bagi enjin suntikan “Injection
Penjimatan sehingga 50%

Alat ini dijamin selama 2 tahun atau 50000 kilometer,perlindungan insurans dan jaminan wang dikembalikan jika ia tidak memberi penjimatan dalam tempoh sebulan.

Sumber: http://kereta.info/hydrofuel-2/

Pengalaman saya:

Saya baru saja memasang sistem hydrofuel pada kereta saya di Sijangkang. Kosnya cuma RM50. Mengapa murah? Mekanik menggunakan bahan terbuang sebagai tangki air iaitu botol minuman 1.5 liter dan tidak menggunakan sistem elektronik seperti yang dipaparkan di atas. Fungsi tetap sama tapi saya perlu menunggu dalam seminggu ini untuk mengetahui keberkesanannya. Tunggu!


Sunday, November 16, 2008

Musim cuti dah sampai meh gi 'funfair'. Ya be da bedoo!











Oopppss saya masih berhutang dengan Hj Jumiran, Hjh Munah & Hjh Rahimah. Next week saya langsaikan sebelum terkena panggilan hangit. He he he!

Friday, November 14, 2008

Tahniah Kepada Anak-anak Warga Pendidik SMKTPG Yang Cemerlang Dalam UPSR & PSRA

Tahniah diucapkan kepada anak-anak warga pendidik SMKTPG khususnya dan semua anak-anak yang memperoleh keputusan cemerlang dalam UPSR dan PSRA.

Berikut senarai anak warga pendidik SMKTPG yang memperoleh 5A dalam UPSR dan Mumtaz dalam PSRA:

1. Adam Najmi b. Nor Azman - En. Nor Azman b. Sanot
2. Amirul Hafifi b. Fauzan - Pn. Rohana bt. Nekmat
3. Ariefah Haneem bt. Abdul Halim - Pn. Wan Nor Sa'adah bt . Wan Yusuf
4. Fateema bt. Mohd Amin - Pn. Norhayati bt. Husin
5. Fatin Hazimah bt. Mazlan - Pn. Norliah bt. Ahmad
6. Has Hamezzaid b. Hamid - En. Hamid b. Mohamad@Asanar
7. Muhamad Arif b. Mohd Ruzi - En. Mohamad Ruzi Mohamed Shamsudin
8. Muhammad Nur Fikri b. Mohd Aris - Pn. Faezah bt. Halidi
9. Nor Farhana bt. Riddzwan - Pn. Salina bt. Suhaimi@Embi

Tuesday, November 11, 2008

URL baru Blog Cikgu Amin Zaki

http://aminzakisubhi.blogspot.com

Di atas ialah url blog Cikgu Amin Zaki menggantikan blog lamanya http://aminzaki79.blogspot.com/.

Menurut beliau, pertukaran url dibuat apabila beliau terlupa password url yang asal. Kepada para blogger, suka saya ingatkan antara perkara penting yang perlu kita ingat ialah username & password. Sekiranya terlupa, kita tidak akan dapat mengemaskini blog kerana tidak boleh masuk ke akaun kita.

Monday, November 10, 2008

Cadangan Nama Tapak Perhimpunan SMKTPG

Saya mencadangkan supaya tapak perhimpunan diberikan nama agar dapat membawa impak yang positif khususnya kepada warga pelajar. Antara nama yang mungkin boleh digunakan ialah:
i. Dataran Budi
ii. Dataran Ilmu
iii. Dataran Bestari
iv. Dataran Fikrah dan sebagainya

Pengunjung blog juga boleh mencadangkan nama yang sesuai yang boleh digunakan bagi menggantikan nama tapak perhimpunan SMKTPG. Sebagai satu tempat berkumpulnya warga SMKTPG dalam pelbagai acara maka sudah sampai masanya kita memikirkan satu nama yang wajar untuk tapak perhimpunan ini.

Sekadar melontar idea buat warga SMKTPG untuk difikirkan!

Friday, November 7, 2008

Majlis Pohon Restu




Jam 8.00 pg bertempat di Dataran Bestari SMKTPG, Majlis Pohon Restu telah diadakan untuk calon SPM & STPM 2008. Majlis dimulakan dengan bacaan doa, ucapan wakil pelajar, ucapan guru penyelaras peperiksaan Pn. Noraidah Norman, dan Tuan Pengetua, En Nordin Saad. Majlis diakhiri dengan setiap calon peperiksaan menemui setiap guru yang mengajar mereka memohon restu agar memperoleh keberkatan daripada-Nya dan saling bermaafan antara pelajar dan guru. Sebagai simbolik untuk menghadapi peperiksaan pihak sekolah telah memberikan sebatang pen kepada setiap calon.

Setelah kira-kira hampir 2 tahun para pelajar belajar di Tingakatan 4, 6 Bawah, 5 dan 6 Atas tibalah masa untuk mereka menghadapi peperiksaan SPM bermula pada 11 November 2008 dan 18 November 2008 untuk calon-calon STPM. Sesungguhnya kami warga SMKTPG sentiasa mendoakan agar calon-calon SPM & STPM tahun ini dapat menjawab soalan dengan tenang dan akhirnya memperoleh kejayaan yang cemerlang kelak. Insyaallah.

SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN SPM & STPM KEPADA ANAK DIDIK YANG KAMI KASIHI

Wednesday, November 5, 2008

Blogger Terbaru SMKTPG

Tahniah kepada Tn Hj Kadis dan Pn. Fauziah Laili kerana berjaya menghasilkan blog masing-masing. Selamat datang ke dunia blog kepada Ustaz Kadis dan Cikgu Fauziah Laili moga blog ustaz dan cikgu menjadi wadah berguna kepada pengunjungnya.
Blog Ustaz Kadis: hajikadis.blogspot.com
Blog Cikgu Fauziah Laili: http://fauziahlaili.blogspot.com/

Tuesday, November 4, 2008

Temubual Bersama Pelawat dari SMK USJ 12

Lawatan 40 pelajar SMK USJ 12 ke Kg Jenjarom


Para pelajar memasukkan habuk kayu yang telah diproses
ke dalam bekas sebagai tempat semaian cendawan


Pelajar melakukan kerja pembungkusan kerepek


Para pelajar mendengar taklimat daripada Pn. Khatijah,
pemilik Kilang Akuku




Kambing boer




Jam 1.50 ptg saya sampai di Kandang Kambing Koperasi Jenjarom Berhad. En. Darindi sudah di sana menanti rombongan 40 orang pelajar Kelas Rancangan Khas SMK USJ 12. Kira-kira jam 2.15 ptg rombongan mereka sampai ke ladang ini. Kami menyambut mereka. Sebenarnya mereka tiba kira-kira jam 8.30 pg di Kilang Akuku. Mereka dibahagikan kepada 2 kumpulan. 20 orang setiap kumpulan. Satu kumpulan melakukan khidmat bakti di Kilang Akuku dan satu lagi di Ladang Cendawan. Setiap kumpulan akan bertukar khidmat bakti setelah mereka menghabiskan tugasan masing-masing. Di Kilang Akuku mereka diminta melakukan kerja-kerja pembungkusan kerepek sementara di Ladang Cendawan mereka diminta membuat tapak benih cendawan.
Saya hanya dapat membantu rakan-rakan JKKK pada sebelah petang setelah selesai bertugas di sebelah pagi. Pada keseluruhannya, para pelajar & guru pengiring amat berpuas hati dengan lawatan ini.

Monday, November 3, 2008

Blogger Terbaru SMKTPG


Tahniah Cikgu Latip kerana menjadi salah seorang blogger SMKTPG.
http://latibmastor.blogspot.com/

Sunday, November 2, 2008

JAMUAN Selepas AIDIL FITRI WARGA SMKTPG








Alhamdulillah, jamuan yang dirancang telah dapat dilaksanakan dan kehadiran warga kerja SMKTPG amat membanggakan. Bak kata dialog dalam karton wonderpets "Apa yang penting?" "KERJASAMA". Bagi saya inilah kekuatan warga SMKTPG. Terima kasih kepada seluruh warga yang hadir dan sama-sama menjayakan program ini. Kepada anak-anak didik kita yang sama-sama membantu juga diucapkan terima kasih. Begitu juga kepada ahli keluarga yang turut serta begitu sporting menemani isteri/suami masing-masing. Walaupun saya baru 2 tahun di SMKTPG tetapi sudah merasai kemesraan dengan keluarga besar warganya. Moga budaya seperti ini akan dapat diteruskan.

Gambar Jamuan Lagi!