Friday, December 19, 2008

Demam Chikungunya

Demam chikungunya

Di laman ini kita akan membincangkan satu lagi jenis penyakit bawaan nyamuk yang kadang kala berlaku di Malaysia. Soalan-soalan di bawah ini ialah soalan yang kerap ditanya oleh sesiapa sahaja yang ingin mengetahui mengenai penyakit ini – Demam Chikungunya….Jadi manfaatkannya…

Apakah itu demam chikungunya?!

Virus Chikungunya pertama kali dijumpai di Tanzania, Afrika Timur tahun 1952. Tidak hairanlah apabila namanya pun berasal dari bahasa Swahili. Ertinya adalah yang berubah bentuk atau bongkok. Postur badan pesakitnya memang kebanyakan membongkok akibat kesakitan yang teramat di persendian tangan dan kaki. Virus ini termasuk keluarga Togaviridae, Genus alphavirus, dan dibawa oleh Nyamuk Aedes Aegypti.

Sejauh manakah kekerapan berlakunya penyakit ini?!

Sejurus penemuan virus ini di Afrika, epidemik berlaku di Filipina (1954, 1956 dan 1968), Indonesia (1973), Thailand, Kemboja, Vietnam, India, Myanmar, Sri Lanka dan Indonesia. Sejak tahun 2003, terdapat beberapa kes berlaku di kepulauan Lautan Pasifik termasuk Madagascar, Comoros, Mauritius dan La Reunion, dengan jumlah kes yang meningkat ketara selepas bencana tsunami pada Disember 2004.

Memetik laporan AFP, sebanyak 148 kematian (secara langsung dan tidak langsung) telah dilaporkan sehingga Mac lalu di La Reunion dengan satu per tiga daripada penduduknya yang berjumlah 777,000 jatuh sakit disebabkan oleh virus ini. Selain insiden yang mula dikesan penularannya sejak 1 April lalu di Bagan Panchor, Pantai Remis, Perak, negara pernah dilaporkan dua kali menghadapi penyakit ini iaitu pada tahun 1999 di Pelabuhan Klang melibatkan 27 mangsa (majoritinya pendatang asing). Kes chikungunya yang pertama sekali di Malaysia pernah dilaporkan sekitar tahun 1960-an.

Bagaimanakah virus ini merebak?!

Penyakit chikungunya boleh dikatakan ‘bersaudara’ dengan penyakit demam denggi dan demam denggi berdarah kerana dibawa oleh pembawa yang sama iaitu nyamuk aedes sama ada aegypti mahupun albopictus. Masa inkubasi virus ini ialah dua sampai empat hari, sementara manifestasinya tiga sampai sepuluh hari.

Bezanya, jika virus denggi menyerang pembuluh darah, virus chikungunya menyerang sendi dan tulang.

Nyamuk aedes lazimnya akan menggigit seseorang yang telah dijangkiti oleh virus chikungunya dan memindahkan darah berkenaan kepada seorang mangsa lain yang sihat.

Apakah tanda-tanda orang yang telah terkena jangkitan ini?!

Simptom-simptom penyakit chikungunya secara klinikalnya sangat mirip kepada demam denggi. Ia lazimnya dimulai dengan demam tinggi secara mendadak sehingga mencecah 39 celsius. Simptom lain termasuklah kesejukan, menggigil, ruam pada kaki, tangan dan badan, kurang selera makan, perut meragam, sakit kepala, mata merah, sedikit fotofobia (sensitif kepada cahaya), loya dan muntah.

Gejala paling biasa adalah sakit sendi (artritis atau atralgia) terutamanya di hujung jari, pergelangan tangan dan buku lali, atau rasa ngilu pada tulang.Jangkitan chikungunya juga mungkin tidak menunjukkan sebarang gejala (asimptomatik) atau menyebabkan kesakitan yang teruk dan gejala yang berpanjangan.

Mujurlah, penyakit chikungunya tidak menyebabkan kematian seperti denggi berdarah. Ia dikategorikan sebagai penyakit yang boleh sembuh dengan sendirinya. Kalaupun berlaku kematian, ia adalah dalam jumlah yang kecil.

Jadi, kenapa perlu bimbang?!

Dalam tempoh seminggu, pesakit berada dalam keadaan kesakitan yang akut (sangat teruk) sehingga tidak boleh bergerak atau berjalan (kelumpuhan sementara) sekali gus menjejaskan kualiti hidupnya. Pesakit biasanya akan mengalami demam selama lima hingga tujuh hari sebelum beransur-ansur hilang. Ia bagaimanapun boleh berulang kembali. Jangan lupa, chikungunya sekeluarga dengan denggi berdarah. Tambahan pula, gejalanya hampir serupa. Ia juga boleh melemahkan sistem imun tubuh, menyebabkan badan mudah dijangkiti oleh penyakit-penyakit lain

Apakah seseorang itu dijangkiti virus ini beberapa kali dalam hidup?!

Tidak. Mana-mana individu yang pernah dijangkiti virus ini secara semula jadinya akan membina daya ketahanan yang bertahan lama.

Bagaimanapun, sesetengah daripada mereka mungkin mengalami sakit sendi yang berpanjangan dari beberapa minggu ke bulan lamanya dan berulang-ulang dalam tempoh yang agak lama, disebabkan oleh reaksi sendi dan bukannya jangkitan virus.

Adakah seseorang itu yang telah dijangkiti virus ini boleh menularkan penyakit ini kepada orang lain?!

Tidak. Seseorang yang telah dijangkiti tidak boleh menyebarkan penyakitnya itu secara langsung kepada orang lain. Proses penularan hanya berlaku menerusi nyamuk pembawa.

Adakah ia boleh dirawat?!

Seperti demam denggi berdarah, belum terdapat ubat-ubatan mahupun vaksin bagi mencegah penyakit chikungunya. Rawatan sedia ada yang diberikan hanya bersifat simptomatik (sokongan, mengikut gejala bagi mengurangkan kesakitan).

Misalnya, pesakit diberikan ubat demam atau penahan sakit. Pesakit dinasihatkan banyakkan minum air dan istirehat yang cukup.

Pesakit akan diasingkan dan seboleh-bolehnya elakkan daripada kemungkinan terdedah kepada digigit nyamuk, sebagai salah satu usaha mencegah penyebaran virus itu kepada orang lain.

Bagaimanakah hendak mencegah virus ini dari terus menjangkiti orang lain?!

Memandangkan tiada rawatan aktif mahupun rawatan pencegahan penyakit chikungunya, satu satunya cara mengelakkan jangkitan adalah dengan mengurangkan pendedahan terhadap jangkitan nyamuk ke tahap maksimum. Ini termasuklah memusnahkan sarang pembiakan larva bagi menghentikan rantaian kitar hidup dan penularannya. Antara pelbagai pilihan lain bagi melindungi diri anda daripada gigitan nyamuk termasuklah:

* Tidur menggunakan kelambu
* Pakai baju berlengan panjang atau berseluar panjang terutamanya ketika berada di luar
  rumah pada waktu senja bagi mengelakkan pendedahan langsung kulit terhadap gigitan 
  nyamuk aedes
* Pasang penghadang nyamuk pada tingkap
* Pasangkan ubat nyamuk lingkaran, elektrik atau menggunakan semburan racun serangga
* Biarkan pengudaraan berlaku sama ada dengan kipas angin atau alat penghawa dingin
* Sapu krim repelen serangga yang disahkan selamat pada kulit dan pakaian.

Sumber dipetik daripada: http://erfi46.multiply.com/journal/item/44

No comments: