Saturday, January 9, 2010

11 sukan turut ‘disembelih’ MSSM

Oleh Ahmad Khawari Isa
ahmadkhawari@bharian.com.my

RUPANYA bukan hanya bola sepak jadi mangsa ‘pendekatan berhemah’ Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) yang memilih untuk tidak menganjurkan kejohanan peringkat kebangsaan, tahun ini.

Penyelidikan dilakukan, semalam, mendedahkan betapa 11 sukan digugurkan langsung daripada kalendar MSSM untuk 2010, atas apa disifatkan sebagai reaksi balas ekoran pemotongan belanjawan, tahun ini.

Sebaliknya MSSM hanya akan mempertandingkan 13 jenis sukan, dengan penentuan dibuat berdasarkan sukan yang akan dipertandingkan di peringkat sekolah-sekolah Asia. Antara sukan utama ‘digugurkan’ tahun ini ialah bowling, skuasy dan memanah.

Daripada 13 sukan yang dipertandingkan pula, hanya empat - gimnastik, gimrama, olahraga dan renang - akan kekal menyaksikan pertandingan bagi kategori bawah 12, 15 dan 18 tahun.

Malah jika dilihat, nasib bola sepak - yang akan mempunyai saingan bawah 12 dan 18 tahun tanpa saingan bawah 15 tahun - tidaklah begitu buruk jika dibanding badminton yang hanya akan menyaksikan saingan untuk bawah 18 tahun.

Turut hanya akan menyaksikan saingan bawah 18 tahun pada 2010 ialah bola jaring, bola keranjang, bola tampar, sepak takraw, tenis dan golf.

Tindakan itu harus dilihat sebagai sesuatu yang membimbangkan, kerana MSSM mengambil ‘jalan mudah’ tanpa ada usaha dilakukan buat cuba menyelamatkan penganjuran pelbagai sukan itu.

Antara langkah boleh difikirkan MSSM termasuklah melakukan usaha gigih mencari penajaan daripada syarikat swasta, tanpa terus ‘goyang kaki’ dan mengharapkan sepenuhnya peruntukan daripada Kerajaan.

Apa yang turut menggelisahkan ialah hakikat betapa tindakan ‘gugur bila ada masalah’ itu mampu menjejaskan pembangunan arena sukan negara secara menyeluruh, ketika saingan peringkat sekolah diperakui sebagai medan penting untuk memupuk dan mencungkil bakat atlit di peringkat akar umbi lagi.

Dipetik dari Utusan Berita Harian Online

No comments: