Thursday, December 24, 2009

Kebakaran dan Bantuan ZAKAT Selangor


Video kebakaran yang diambil daripada telefon bimbit seorang penduduk kampung




Pegawai ZAKAT menyampaikan sumbangan sebanyak RM5000.00 kepada sdr Hamdani Alias sambil diperhatikan oleh Ustah Hj Misnan Ahmad, Ketua Kg Jenjarom

Pada 18 Disember 2009 (Jumaat) kira-kira jam 4.30 ptg saya menerima SMS daripada seorang rakan menyatakan rumah jiran saya hangus terbakar. Waktu itu saya masih bercuti bersama keluarga dari hari Jumaat hingga Ahad. Pulang daripada cuti terus melawat jiran tersebut. Petang Ahad saya ke tapak rumah yang habis terbakar. Malamnya ke rumah sewanya. Alhamdulillah warga kampung saya amat prihatin terhadap mangsa kebakaran sama ada pihak JKKK mahupun orang perseorangan. Ahli keluarga saya turut membantu apatah lagi mangsa ialah jiran kami. Pelbagai bantuan dihulurkan bagi membantu mangsa yang tinggal sehelai sepinggang. Antara bantuan yang diberi ialah pakaian, peralatan dapur, wang tunai serta menyediakan rumah sewa termasuk sewanya sekali.

Pada 22 Disember pihak ZAKAT Selangor datang memberikan bantuan serta membuat tinjauan atas rumah yang terbakar. Bantuan segera yang dihulurkan oleh ZAKAT Selangor ialah wang tunai RM5000.00. Menurut Ustaz Mat Husain Sabar, Ketua Operasi ZAKAT Kuala Langat yang saya temui pada hari tersebut menyatakan bantuan sebanyak RM5000.00 boleh disampaikan dalam masa 24 jam daripada kejadian sekiranya terdapat laporan dibuat yang disertai oleh laporan polis, pengesahan ketua kampung dan gambar kebakaran jika ada. Selain itu, pihak ZAKAT juga akan menyediakan sebuah rumah baru kepada sdr Hamdani dengan peruntukan RM37000.00 setelah dokumen yang berkaitan siap. Pihak ZAKAT juga akan memberi bantuan persekolahan kepada anak-anak mangsa serta bayaran sewa rumah selama 6 bulan.

Begitulah ZAKAT dalam memberi bantuan kepada mangsa sesuatu bencana. ZAKAT beroperasi daripada wang atau zakat yang diterima daripada orang ramai. Oleh itu, Ustaz Mat Husain Sabar mengingatkan kita agar menunaikan atau membayar zakat bagi sama-sama membantu umat Islam khususnya yang memerlukan bantuan sama ada untuk membiayai kos perubatan, bantuan bencana alam, bantuan untuk para asnaf dan sebagainya.

No comments: