Thursday, November 5, 2009

Tahniah Warga Kampung Kilim Atas Anugerah Ilham Desa 2009


Pada entri yang lepas, saya ada memasukkan Kilim Geoforest Park sebagai salah satu destinasi perjalanan kami di Langkawi. Apabila mendapat tahu Kampung tersebut menang Anugerah Ilham Desa 2009 di bawah, hati kecil saya berkata memang patut sungguh Kg Kilim mendapat anugerah tersebut kerana projek Kilim Geoforest Park telah memberikan sumber pendapatan kepada penduduk Kg Kilim. Saya perhatikan tidak kurang daripada 60 buah bot disediakan bagi kemudahan pelancong di sini untuk menyelusuri Kilim Geoforest Park. Selain itu, gerai-gerai cendera mata dan gerai makan turut diusahakan oleh penduduk kampung. Tidak ketinggalan saya sempat membeli pistol lastik getah di sini untuk anak-anak. Ustaz Kadis juga sempat membeli topi di sini dan digunakan sepanjang kami di Langkawi.



Kampung Kilim menang Anugerah Ilham Desa 2009


MUHYIDDIN Yassin menyampaikan cek replika RM30,000, trofi dan sijil kepada wakil penduduk Kampung Kilim, Omar Ariffin (kiri) yang memenangi Anugerah Ilham Desa Peringkat Kebangsaan 2009 sambil diperhatikan oleh Shafei Apdal pada majlis penyampaian anugerah itu di Kampung Mawai Baru, Johor, semalam.


KOTA TINGGI 29 Okt. – Kampung Kilim, Langkawi, Kedah hari ini muncul pemenang Anugerah Ilham Desa Peringkat Kebangsaan 2009.

Dengan kemenangan itu, kampung berkenaan membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000, pakej pelancongan sambil belajar bernilai RM20,000, trofi dan sijil.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Persekutuan (JKKP) Kampung Kilim, Ahmad Nizar Hanafiah, 52, gembira kerana hasil usaha penduduk kampung tersebut membangunkan Kilim Geoforest Park berjaya mendapat pengiktirafan kerajaan.

Katanya, seramai 112 penduduk kampung bersama 60 pengendali bot, terlibat dalam membangunkan Kilim Geoforest Park yang sehingga kini berjaya menarik lebih 118,000 pelancong luar negara.

“Taman itu mula dibangunkan pada 1999 dan pada 2002, ia mendapat pengiktirafan daripada Jabatan Perikanan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Anugerah Ilham Desa Peringkat Kebangsaan 2009 di Kampung Mawai Baru dekat sini hari ini.

Hadiah disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Turut hadir Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman.

Sumber: Utusan Malaysia

No comments: