Sunday, November 15, 2009

Malam Amal Nostalgia STAR

Bersama bekas pelajar yang menggelar saya "The Rock"
Tiga orang bekas pelajar perempuan yang sudah menghabiskan pengajian mereka dan telah bekerja. Sementara Donovan masih di Tahun 4 Undang-undang, Universiti Malaya
Cikgu Rowena berdiri di kanan sekali
Bersma Dr Robiah Hamzah
Bekas pelajar STAR yang sudah jadi mak & babak orang bergambar bersama guru mereka Pn Hjh Che Nah (kini Ketua Sektor Penilaian & Peperiksaan di JPS , duduk paling kanan. Duduk paling kiri ialah Dr Rafiee, seorang pakar bedah
Liza Hanim, bekas pelajar STAR turut menyanyi malam itu
Pn. Hjh Noraini Md Tahir 2 dari kanan, bekas PK1 STAR kini Pegawai Pelajaran Klang, Pn Hjh Kamariah, pengetua STAR dan YDH Dato' Setia Diraja, Dato' Abdul Ghani Pateh Akhir
Pn Hjh Siti Aishah (kiri) dan Pn Hjh Habsah, bekas pengetua STAR
Tn Hj Abdul Razak Ibrahim, Pengetua pertama STAR tiga dari kanan bersama bekas guru dan pelajar

14 November 2009 jam 8.00 malam bertempat di Dewan Serbaguna Pejabat Daerah Klang telah diadakan Malam Amal Nostalgia STAR. Program ini diadakan bertujuan untuk menghimpunkan bekas pelajar, guru dan pengetua STAR. Saya turut terlibat sebagai seorang bekas guru dan ada sedikit tugas untuk saya membantu pada malam tersebut. Sebanyak 700 tiket berharga RM100 setiap tiket habis dijual. Maklumat yang diperoleh masih ramai bekas pelajar yang gagal mendapat tiket kerana telah kehabisan. Khabarnya juga jumlah kutipan termasuk derma mencecah RM80k. Sesungguhnya komitmen seluruh warga STAR amat terpuji sehingga berjaya melaksanakan program ini yang dianjurkan dengan kerjasama PIBG dan ALUMNI. Tahniah kepada semua pihak atas kejayaan ini. Sesuai dengan nama nostalgia, saya juga turut terimbau nostalgia di STAR.

Nostalgia 1 - The Rock

Di dalam dewan saya bertemu dengan bekas pelajar 5S2 2002 (semuanya pelajar Cina) yang duduk satu meja. Selepas bersalaman dan bertanya khabar serta perkembangan masing-masing seorang pelajar bercakap, "Cikgu masih macam dulu macam The Rock!" Satu meja ketawa berdekah-dekah. Mengapa ketawa? Pada tahun tersebut sedang popular rancangan gusti WWF dan salah seorang pengusti yang popular ialah The Rock. Entah macam mana mereka menggelarkan saya The Rock. Hanya kelas mereka yang menggelarkan saya begitu. Selepas tamat sekolah maka gelaran itu pun lenyap dan malam nostalgia seorang daripada mereka mengingatkan gelaran tersebut. Bekas pelajar ini sudahpun bekerja setelah menamatkan pelajaran dalam dan luar negara.

Nostalgia 2 - Pn Hjh Siti Aishah, Pn Hjh Noraini Md Tahir, Pn Hjh Che Nah , Pn Hjh Kamariah dan Dr Robiah Hamzah

Malam ini saya berkesempatan bertemu dengan Pn Hjh Siti Aishah bekas pengetua semasa saya bertugas di STAR. Beliaulah yang mula-mula mencetuskan minat saya dalam ICT. Pada tahun 2000 semasa projek makmal komputer fasa 1 berjalan sekumpulan guru dihantar untuk mengikuti kursus penyelaras makmal komputer dan JU ICT. Kata-kata Pn Siti masih dalam ingatan. Katanya, "Cikgu masih muda. Saya cadangkan nama cikgu untuk kursus ICT kerana saya percaya cikgu dapat jalankan tugas dengan baik nanti"

Pn. Hjh Noraini Md Tahir (PK1 ketika itu) pula sewaktu saya mula-mula mendaftar di STAR meminta saya mengajar Ting 6. Saya menolak dengan lembut dengan alasan saya baru keluar universiti dan mohon untuk diberi peluang mengajar di kelas lain dahulu. Saya akhirnya akur dengan kehendak beliau kerana menurutnya polisi STAR tidak menilai guru sama ada baru atau lama tetapi bergantung kepada keperluan dan kekosongan. Kini Pn Noraini sudah menjadi PPD Klang.

Pada bulan Disember 2006 saya ke STAR atas suatu urusan setelah selesai pengajian master saya. Pn. Hjh Che Nah berjumpa saya mohon agar saya terus berkhidmat di STAR atas keperluan ICT sekolah. Saya nyatakan telah ditempatkan dan memang mohon ditempatkan di SMKTPG (sekolah saya ketika Ting 1 hingga Ting 5). Maaf STAR bukan saya tidak sudi! Kini Pn Hjh Che Nah di Jabatan Pelajaran Selangor sebagai Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan.

Pn Hjh Kamariah, (pengetua STAR kini) pula merupakan rakan semasa saya bertugas di SMK Raja Lumu. Ketika itu beliau mengajar Pendidikan Islam dan setiap kali pulang dari Terengganu beliau akan membawa kain songket Terengganu untuk rakan-rakan yang berminat untuk membelinya dan saya tidak ketinggalan membeli sehelai songket Terengganu yang cantik sekali tenunannya. Begitulah Pn Hjh Kamariah seorang yang lembut tetapi sangat dedikasi dalam tugasnya.

Malam ini saya juga berkesempatan bertemu Dr Robiah Hamzah bekas guru saya yang juga bekas guru di STAR. Ramai anak murid beliau sangat teruja bertemu semula dengannya. Masing-masing mengambil kesempatan bergambar dan bertukar cerita. Saya juga sempat bertemu dan berbual-bual dengan Tn Hj Mahmud Karim bekas guru STAR yang kini menjadi Ketua Sektor Jaminan Kualiti di JPS. Sementara En Mohd Salleh Kasim bekas pelajar STAR dan Pegawai Pelajaran di PPD Kuala Langat juga telah menjadi Ketua Sektor Pengurusan Sekolah di JPS.

Sedang saya berbual dengan Cikgu Samsudin datang Cikgu Rowena. Beliau masih mengenali saya. Dengan suara yang tidak selancar dulu Rowena bercakap "Cikgu Rozi, Cikgu Rozi saya tahu Cikgu Rozi. Saya ingat Cikgu Rozi". Ada cerita tragis tentang Cikgu Rowena. Beliau mengalami kemalangan yang dasyat dalam perjalanan ke sekolah. Kemalangan ini menyebabkan beliau koma agak lama dan sterusnya terlantar lama di hospital. Kemalangan ini menyebabkan ingatannya terganggu. Kini beliau semakin pulih dan dinasihatkan datang ke sekolah agar ingatannya cepat pulih. Didoakan agar beliau sembuh dan pulih sepenuhnya. Insyaalah.

Saya juga bertemu dengan guru-guru STAR sewaktu saya bertugas di sana. Malam ini saya seolah-olah sebahagian daripada keluarga besar STAR sementelahan saya turut bertugas malam itu! Memang benar malam ini malam nostalgia STAR kerana banyak nostalgia semasa di sana.

No comments: