74,000 kakitangan awam Singapura dapat bonus
SINGAPURA 28 Mei - Kira-kira 74,000 kakitangan awam Singapura akan menerima bonus pertengahan tahun sebanyak setengah bulan gaji dan tambahan sebanyak S$250 (RM612) pada Julai ini, umum Bahagian Perkhidmatan Awam (PSD) Pejabat Perdana Menteri semalam.
Menurut PSD, kerajaan membuat keputusan untuk membayar Komponen Tidak Tetap Tahunan sebanyak setengah bulan ketika ekonomi Singapura berkembang pada tahap sihat, peningkatan sebanyak 8.3 peratus secara tahunan dalam suku tahun pertama ini.
Sejajar dengan permintaan Majlis Penggajian Nasional bagi membantu pekerja berpendapatan rendah dengan membayar bonus sekurang-kurangnya S$1 (RM2.4), kakitangan awam akan menerima tambahan S$250 (RM612).
Kementerian Perdagangan dan Industri meramalkan peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak lima hingga tujuh peratus untuk keseluruhan tahun.
Bagaimanapun, ia menyatakan terdapat risiko seperti kebimbangan defisit negara di Kesatuan Eropah (EU), pemberontakan di Asia Barat dan Afrika Utara serta situasi nuklear Jepun.
PSD berkata, kerajaan akan membuat keputusan bonus akhir tahun untuk kakitangan awam selepas menimbang prestasi ekonomi negara dalam separuh masa kedua tahun ini.
Kongres Kesatuan Sekerja Nasional (NTUC) dan lapan kesatuan perkhidmatan awam menyambut baik pengumuman tersebut.
Timbalan Setiausaha Agung NTUC, Heng Chee How berkata, pembayaran bonus itu akan lebih membantu pekerja berpendapatan rendah. - Agensi
Sumber:
No comments:
Post a Comment