Sunday, May 29, 2011

74,000 kakitangan awam Singapura dapat bonus

SINGAPURA 28 Mei - Kira-kira 74,000 kakitangan awam Singapura akan menerima bonus pertengahan tahun sebanyak setengah bulan gaji dan tambahan sebanyak S$250 (RM612) pada Julai ini, umum Bahagian Perkhidmatan Awam (PSD) Pejabat Perdana Menteri semalam.

Menurut PSD, kerajaan membuat keputusan untuk membayar Komponen Tidak Tetap Tahunan sebanyak setengah bulan ketika ekonomi Singapura berkembang pada tahap sihat, peningkatan sebanyak 8.3 peratus secara tahunan dalam suku tahun pertama ini.

Sejajar dengan permintaan Majlis Penggajian Nasional bagi membantu pekerja berpendapatan rendah dengan membayar bonus sekurang-kurangnya S$1 (RM2.4), kakitangan awam akan menerima tambahan S$250 (RM612).

Kementerian Perdagangan dan Industri meramalkan peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak lima hingga tujuh peratus untuk keseluruhan tahun.

Bagaimanapun, ia menyatakan terdapat risiko seperti kebimbangan defisit negara di Kesatuan Eropah (EU), pemberontakan di Asia Barat dan Afrika Utara serta situasi nuklear Jepun.

PSD berkata, kerajaan akan membuat keputusan bonus akhir tahun untuk kakitangan awam selepas menimbang prestasi ekonomi negara dalam separuh masa kedua tahun ini.

Kongres Kesatuan Sekerja Nasional (NTUC) dan lapan kesatuan perkhidmatan awam menyambut baik pengumuman tersebut.

Timbalan Setiausaha Agung NTUC, Heng Chee How berkata, pembayaran bonus itu akan lebih membantu pekerja berpendapatan rendah. - Agensi

Sumber:

1. Utusan Malaysia

2. Berita Harian Singapura


Friday, May 27, 2011

Status STPM Perlu Diangkat & Dipertahankan

SEJAK akhir-akhir ini, khususnya dalam ruangan surat daripada pembaca di akhbar-akhbar utama, begitu banyak sekali perdebatan berkaitan dengan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) diperkatakan secara mendalam.

Mentaliti dan kecenderungan ibu-bapa hari ini ialah untuk menghantar anak-anak ke kolej swasta dan luar negara bagi mengikuti program A-Level. Malah kerajaan juga telah menghabiskan begitu banyak peruntukkan untuk membiayai pelajar-pelajar kita mengikuti program A-Level di luar negara atau kolej-kolej persediaan ke luar negara.

Kerajaan sepatutnya memberi lebih banyak tumpuan dan usaha untuk mengalakkan pelajar-pelajar kita memilih STPM.

Ini kerana hanya STPM sahaja medium yang benar-benar dapat menguji tahap kecemerlangan seseorang pelajar itu berbanding apa yang telah mereka capai di peringkat SPM.

Malah sesetengah pemegang biasiswa JPA dengan keputusan SPM yang cemerlang gagal untuk mengulangi kecemerlangan mereka di peringkat pra-universiti. Salah satu sebabnya ialah kerana, standard SPM itu sendiri dikhuatiri telah menurun dan beberapa pelajar yang memperolehi keputusan ‘A’ di peringkat SPM pada hakikatnya tidak layak untuk menerima markah tersebut.

Malah sesetengah daripada mereka tidak boleh menulis ayat yang mudah sama ada dalam bahasa Inggeris apatah lagi dalam bahasa kebangsaan dan asas pengetahuan matematik dan sains mereka adalah pada tahap sederhana sahaja.

Bagaimanapun STPM masih mengekalkan reputasinya sebagai peperiksaan yang paling sukar di dunia dan di peringkat inilah para pelajar cemerlang di peringkat SPM akan benar-benar diuji.

Mereka yang mampu mengekalkan keputusan cemerlang di kedua-dua peringkat inilah yang sepatutnya dipertimbangkan untuk pemberian biasiswa persekutuan mahu pun negeri.

Jika tidak, untuk jangka masa panjang, STPM akan menjadi peperiksaan awam yang tidak ada maknanya lagi kepada negara. - FELIX LIM, KUALA LUMPUR

Sumber: MStar Online

Sunday, May 8, 2011

Selamat Hari Ibu - Sesuatu Untuk Direnungkan...

Renung-renungkan...

Apabila dahaga, yang susukan aku…emak
Apabila lapar, yang suapkan aku…emak
Apabila keseorangan, yang sentiasa di sampingku…emak
Apabila bangun tidur, aku cari…emak
Apabila menangis, orang pertama yang datang…emak
Apabila nak bermanja aku dekati…emak
Apabila sedih, yang membelaiku…emak
Apabila nakal, yang memarahiku…emak
Apabila merajuk, yang memujukku…emak
Apabila melakukan kesalahan, yang paling
Cepat marah…emak
Apabila takut, yang tenangkan aku…emak
Apabila sedih, aku mesti telefon…emak
Apabila seronok, orang pertama aku nak beritahu…emak
Apabila bengang, aku suka luah pada…emak
Apabila takut, aku selalu panggil...“Emmaaakkk”!
Apabila sakit, orang paling risau ialah…emak
Apabila nak exam, orang paling sibuk juga…emak
Apabila buat hal, yang marah aku dulu…emak
Apabila ada masalah, yang paling kalut…emak

Kini aku telah ada pasangan hidup sendiri
Apabila seronok, aku cari…pasanganku
Apabila sedih, aku cari…emak
Apabila berjaya, aku ceritakan kepada…pasanganku
Apabila gagal, aku ceritakan kepada…emak
Apabila bahagia, aku peluk erat…pasanganku
Apabila berduka, aku peluk erat…emak
Apabila nak bercuti, aku bawa pasanganku
Apabila sibuk, aku hantar anak ke rumah…emak
Apabila sambut ulang tahun…aku bagi hadiah
kepada pasanganku
Apabila sambut hari ibu…aku cuma ucapkan
“Selamat Hari Ibu” (itu pun kalau ingat nak ucap)
Bila-bila…aku akan telefon pasanganku
Entah bila…aku nak telefon emak.
Selalu…aku belikan hadiah untuk pasanganku
Entah bila…aku nak belikan hadiah untuk emak.



Kasihan emak…(Tambahan oleh penulis)




Dipetik drp buku R&R Di Lebuh Raya Kehidupan (ms 155) oleh Ustaz Zul Ramli M. Razali