Wednesday, September 15, 2010

BlackBerry yang terlebih pintar !!


TELEFON bimbit adalah satu daripada teknologi yang terbaik pernah dicipta untuk kemudahan manusia. Kelebihannya boleh dirasai jika anda pernah berada pada situasi unik untuk menghargai telefon bimbit yang kita miliki hari ini, betapa ia telah merubah kaedah berkomunikasi dan melaksanakan tugasan berbanding sedekad yang lalu.

Misalnya pada tahun 2000 di pulau Jolo, selatan Filipina, saya terpaksa ke pejabat operator telekom di tengah pekan untuk menghantar berita ke ibu pejabat di Kuala Lumpur. Seminit dikenakan caj 100 peso bersamaan RM10. Tekanan yang dihadapi ketika itu ialah simpanan wang tunai bagi tugasan tiga minggu makin menyusut.

Pada penghujung tahun 1994, saya ditugaskan membawa telefon Hotline 010 yang baterinya menyerupai bateri kereta semasa membuat liputan tragedi bangunan runtuh Highland Towers di Ulu Klang. Bateri tersebut boleh bertahan 24 jam dan boleh dicas semula di dalam kereta. Ia menjadi simbol kebanggaan wartawan meja jenayah ketika itu, selain alat kelui (pager) diikat pada pinggang.

Dua senario ini memberi penekanan bahawa telefon bimbit sangat penting untuk seorang wartawan (dan juga perlunya ada kamera poket). Pastinya anda, daripada mana sektor sekali pun termasuk berniaga sendiri, menghargai kepentingan telefon bimbit dalam hidup.

Pada suatu ketika, telefon bimbit dihasilkan dalam saiz yang besar. Ia menjadi suatu bentuk simbol status. Maka timbullah istilah 'telefon boleh pakai baling anjing' kerana saiznya yang sebesar lengan.

Hari ini, telefon bimbit masih merupakan simbol status. Ramai yang sebenarnya tidak kisah pada kewujudan telefon pintar dan selamba menggunakan telefon era monolog. Namun ramai juga yang kemaruk telefon bimbit kerana ia membolehkan mereka melayari Internet, berutus sms secara bersilang, menghantar e-mel, mengambil gambar kaku atau video, mendengar muzik, melayari facebook dan tentunya, diletakkan di atas meja bagaikan papan tanda, 'aku pun bergaya'.

Blackberry adalah sebuah telefon pintar yang bukan semua bersedia memilikinya dan hanya mereka yang kemaruk kepada 'status' sahaja sanggup mengumpul duit bagi membelinya. Terdapat beberapa pakej pemilikan ditawarkan oleh syarikat telekomunikasi di Malaysia dan jika anda enggan terikat selama dua tahun, anda boleh membeli perkakasan telefon bimbit itu di mana-mana sahaja. Harganya beberapa bulan dulu ialah lebih RM1,700 dan kelmarin, khabarnya ia menyusut sikit menjadi RM1,580 tetapi ia masih mahal.

Soal mahal tidak sepatutnya menjadi isu kepada orang kaya di negara Arab tetapi Emiriah Arab Bersatu dan Arab Saudi adalah antara dua negara pertama yang mengejutkan dunia berikutan hasrat mereka untuk mengharamkan penggunaan BlackBerry. Langkah drastik itu diikuti pula oleh India, manakala Indonesia masih hangat membincangkannya dari sudut gejala porno di republik Islam terbesar dunia itu.

Apakah yang menjadi masalah besar kepada Blackberry ini? Secara ringkasnya ia adalah disebabkan ciri kerahsiaan datanya, yang tidak boleh diakses oleh syarikat komunikasi tempatan, kerajaan atau polis. Ini disebabkan Blackberry menggunakan pelayan eksklusif milik firma Research In Motions berpangkalan di Kanada. Ia menggunakan aplikasi canggih rahsia data dipanggil AES 256 yang tidak mungkin boleh ditembusi oleh sesiapa.

Kerahsiaan

Aplikasi dan ciri kerahsiaan yang tinggi ini, menjadi satu titik jualan utama bagi Blackberry di seluruh dunia. Rangkaiannya tidak boleh dicuri dengar oleh mana-mana perkhidmatan perisikan waima CIA sekali pun. Ia berfungsi pada garis komunikasi yang autonomi dan bebas. Orang suka begini.

Bagi yang gemar melaungkan konsep kebebasan, BlackBerry adalah telefon terpintar pernah dicipta. Daripada sudut lain yang lebih realistik iaitu keselamatan, teknologi BlackBerry memberi kekaguman dan kebimbangan yang sama getarnya. Ia dikagumi kerana fungsinya boleh diguna untuk tujuan positif. Ia dibimbangi bila ia diguna untuk tujuan sebaliknya. Dan perbincangan kita bukan sekadar membabitkan perihal 'jimat bila boleh sembang dengan ramai kawan serentak'. Tetapi ia adalah lebih besar, lebih menggerunkan iaitu membabitkan soal pengganas antarabangsa.

Menurut tulisan Prof. Theodore Karasik dari Fakulti Kerajaan Dubai, kebimbangan nyata dan jelas terhadap telefon terlebih pintar seumpama Blackberry terbukti pada kejadian serangan pengganas di Mumbai, India pada November 2008.

''Apa yang membezakan serangan Mumbai dengan yang lain ialah bagaimana telefon bimbit dan media sosial digunakan oleh pengganas dan mangsa. Tatkala ramai mendengar bunyi tembakan, tidak ramai mengetahui magnitud kejadian yang berlaku bila serangan bermula. Aplikasi perutusan Blackberry dan sistem e-mel serta teknologi lain pada peralatan bergerak menjadi sumber maklumat yang utama.

''Ketika laporan berita tersiar di seluruh dunia, ketua komplot serangan juga menontonnya. Mereka mampu mengetahui di mana orang bersembunyi dan kemudian mengarahkan pengganas menyerang. Pada satu perbualan telefon yang direkod oleh pihak keselamatan, seorang pengganas diberitahu oleh ketuanya mengenai sekumpulan tetamu asing bersembunyi dengan seorang ahli politik. Apabila penyerang itu menerima maklumat itu, dia berkata ia adalah seumpama 'ising di atas kek','' kata Karasik.

Sejak itu, pihak keselamatan India mendakwa pengganas menggunakan Blackberry untuk merancang serangan tersebut. Tragedi itu menjadi titik tolak kepada kebimbangan bahawa pengganas juga mengguna sepenuhnya kelebihan teknologi digital hari ini.

Inilah menjadi alasan mengapa Emiriah Arab Bersatu, Bahrain, Arab Saudi, India, Algeria dan Indonesia mula mempersoalkan fungsi Blackberry dan mahu mengharamkannya. Malaysia bagaimanapun tidak begitu lantang dalam hal ini. Mungkin belum ramai yang melihat isu pengganas sebagai ancaman. Bila diguna oleh suami atau isteri curang bagi menghubungi kekasih gelapnya, ia dianggap sekadar 'menggunakan sepenuhnya keupayaan teknologi Blackberry'.

sumber Utusan

No comments: