Tuesday, May 25, 2010

Peperiksaan Pertengahan Tahun 2010

Pelajar Tingkatan 6 AK2 sedang menjawab Kertas Geografi 1

Para pelajar kini sedang menghadapi peperiksaan pertengahan tahun yang bermula dari 18 Mei hingga 3 Jun 2010. Moga para pelajar dapat menjawab soalan peperiksaan dengan baik dan memperoleh keputusan yang cemerlang.

Saturday, May 22, 2010

Maxis Cyberkids Camp 2010 Bahagian II



Pasukan SMKTPG yang digabungkan dengan pasukan Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru menamakan kumpulan mereka dengan nama 'EVOLUTION'. Sepanjang berada di kem ini kami melakukan tugasan secara bersama-sama. Kami, walaupun datang dari latar belakang yang berbeza iaitu SMKTPG berstatus sekolah luar bandar sementara STF berstatus sekolah berasrama penuh, namun status tidak menghalang kami bekerja bersama-sama dalam satu pasukan. Kami cepat mesra dan bersungguh-sungguh dalam melakukan tugasan yang memerlukan kekuatan fizikal dan mental. Sehingga akhirnya evolution menjadi pasukan terbaik kem yang diumumkan pada jamuan makan malam (bbq night) yang diadakan pada malam terakhir kami di kem.

Pada malam terakhir pasukan evolution mempersembahkan lagu yang menarik diiringi petikan gitar oleh Raja. Itulah keistimewaan kami, ada Raja yang pandai menyanyi dan bermain gitar. En. Nordin, pengetua SMKTPG turut hadir pada dua hari terakhir kem. Terima kasih buat En. Syukri, fasilitator yang sentiasa bersama kami sepanjang kem.






Malam BBQ: Persembahan daripada Evolution



Persembahan oleh kumpulan evolution


Aktiviti di FRIM

Thursday, May 13, 2010

Maxis Cyberkids Camp 2010

Alhamdulillah SMKTPG terpilih untuk ke Maxis Cyberkids Camp 2010 di Hotel Flamingo, Ampang pada 18-22 Mei 2010. Sekolah dari Selangor yang terpilih untuk ke kem ini ialah SMKTPG, SMK Sungai Besar, SMK Teknik, Gombak dan SMK USJ4. Setiap sekolah diwakili oleh 3 orang pelajar dan seorang guru. Berikut ialah senarai sekolah yang akan mengikuti kem tersebut:

Maklumat berhubung Maxis Cyberkids Camp sila klik pada url berikut: http://maxis.cyberkids.com.my/ckportal/

Monday, May 10, 2010

Minggu Penat!
















Hari Sabtu & Ahad lepas (8-9 Mei 2010) memang memenatkan. Sebenarnya aktiviti yang menyumbang kepenatan bermula dari petang Jumaat lagi. Kira-kira jam 3 ptg Jumaat saya ke Blok Ting. 6 bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan C. Wan menyediakan bahan untuk pendaftaran dan Minggu Orientasi Ting. 6 serta Karnival Kokurikulum yang akan diadakan pada keesokannya. Malamnya jenguk2 ke rumah jiran yang mengadakan majlis kenduri kahwin anaknya. Jam 12.30 baru balik. Sabtu pagi, sampai di sekolah terus ke tapak gerai MPP untuk jualan sempena Karnival Kokurikulum. Kira-kira jam 9.oo pg jadi pengadil pertandingan 'Bola Jaring Gila'. Pertandingan berakhir dalam jam 11.00 pg. Panas beb! Jenguk gerai MPP yang menjual makanan, minuman, T-Shirt, jersey, tudung dan mencuci kereta. Gerai makanan dan minuman MPP licin jualannya. Tukang cuci kereta pulak tak cukup tangan mencuci kereta. Karnival berjalan lancar. Pelajar yang terlibat bersungguh-sungguh menjayakannya. Tahniah untuk warga SMKTPG yang berjaya merealisasikan program ini sehingga berjaya.

Jam 1.30 ptg sampai di rumah. Jam 3.00 rewang di rumah jiran sampai jam 6.00 ptg. Jam 8.30 ke rumah jiran lagi sambung rewang sampai jam 11.00 mlm. Esok pagi jam 8.30 dah ke rumah jiran tu lagi. Jam 10.00 ke The Store Banting bawa anak untuk beli keperluan sekolahnya. Jam 11.30 ke rumah jiran lagi sampai jam 3.30 ptg. Saya beriya rewang ke rumah jiran ni bukan apa dia oranglah yang kuat menolong keluarga saya setiap kali keluarga saya mengadakan majlis kenduri kahwin. Tujuh kali beb sebab saya ada 7 adik-beradik dan jiran sebelahlah yang bertungkus lumus membantu kami. Ini pulak majlis pertama untuk mereka. Walaupun penat tapi puas dapat buat apa yang saya rasa patut buat!

Penat-penat pun malam layan perlawanan terakhir EPL antara Chelsea dengan Wigan. Chelsea 8 - Wigan 0. Yess Chelsea juara liga EPL. Dua tiga kali anak saya yang bersekolah di Melaka menelefon bertanyakan perkembangan terkini perlawanan tersebut. Kami penyokong setia Chelsea. he he he. Jam 2.00 pg baru tidur. Akhir kalam penat tapi puas!

Monday, May 3, 2010

Semakan Tawaran Kemasukan Ke Tingkatan Enam 2010

Semakan tawaran kemasukan ke Tingkatan Enam 2010 boleh dibuat melalui laman web Kementerian Pelajaran Malaysia atau klik pada url berikut: http://apps.emoe.gov.my/form6/semakan2010/index.cfm

Semakan boleh dibuat bermula dari 3 Mei hingga 1 Jun 2010.

Tarikh pendaftaran ke Tingkatan Enam adalah pada 10 Mei 2010 jam 8.00 pagi di sekolah masing-masing mengikut tawaran yang diberi. Pertukaran sekolah sekiranya ada hendaklah dibuat di sekolah yang ditempatkan. Harap maklum.

Sunday, May 2, 2010

Catatan Perjalanan 1 2010: Sabah - Menarik Untuk Dikunjungi





Pulau Mamutik
Pulau Manukan

Ikan boleh dilihat di permukaan air di jeti Pulau Manukan


Ikan yg berjaya saya tangkap dengan umpan roti di tangan



Sabah yang dikenali sebagai 'negeri di bawah bayu' memang menarik untuk dikunjungi. Bagi penggemar aktiviti snokeling, Pulau sipadan, Pulau Mamutik, Pulau Manukan dan Pulai Sapi antara destinasi yang sesuai bagi mereka. Pulau Manukan, Pulau Mamutik dan Pulau Sapi di Taman Negara Tunku Abdul Rahman hanya mengambil masa kira-kira 20 minit perjalanan dari jeti di Kota Kinabalu. Dengan kos RM30 perjalanan ke pulau tersebut ditambah RM10 lagi untuk sewa peralatan snokeling memang amat berbaloi kepada penggemar aktiviti laut ini. Kita boleh sahaja berada sehari suntuk di kepulauan ini. Tidak seperti kunjungan saya yang lepas kini pengunjung dikenakan bayaran sebanyak RM3 setibanya di Pulau Mamutik. Terdetik juga di hati saya wajarkah bayaran ini dikenakan kepada pengunjung yang ingin menikmati keindahan alam ciptaan Allah ini?

Dalam kunjungan saya bersama 8 rakan yang lain, didapati pulau-pulau ini memang menjadi daya tarikan utama di Sabah selain Gunung Kinabalu, pasar-pasar tamu dan Kundasang. Rakan-rakan yang baru dengan aktiviti snokeling pula, mereka perlu membiasakan diri dengan cara menggunakan peralatan snokeling dan cara mengapung diri di laut. Setelah biasa dengannya mereka begitu teruja dengan snokeling hingga kami terpaksa menunggu seorang rakan naik ke pantai kerana asyik bersnokeling hingga tak sedar rakan lain dah bersiap ke jeti untuk balik ke tanah besar Kota kinabalu. Begitulah penangan snokeling.

Antara pengalaman menarik bersnokeling di sini ialah memberi makan ikan. Dengan berbekalkan roti yang boleh dibeli di pulau ini kita dapat menyaksikan pelbagai jenis ikan menghampiri tangan tangan kiri yang memegang roti sambil tangan kanan mengusap ikan-ikan tersebut. Malah, saya berjaya menangkap seekor ikan yang leka makan umpan yang diberi. Selain itu, hidupan laut lain seperti karangan (coral) dan plankton cantik sekali. Namun begitu, dalam kunjungan kali ini saya terpaksa pergi agak jauh dari pantai untuk melihat ikan nemo kerana ikan ini hanya hidup di sekitar karangan dan plankton yang kini hanya hidup agak jauh dari pantai. Tidak seperti kunjungan saya 5 tahun yang lepas, ikan nemo boleh dilihat tidak jauh dari pantai. Sayang sekali, kamera saya tidak dilengkapi alat untuk aktiviti dalam air. Sekiranya ada, tentu pengalaman dalam air boleh dikongsi bersama dengan rakan-rakan.

Sepulangnya dari pulau-pulau ini, rakan-rakan saya berjanji akan membawa pula keluarga mereka ke sini dek seronoknya mereka dengan keindahan pantai dan aktiviti snokeling yang diikuti. Cuma, mampukah mereka menunaikan janji ini? Hanya masa yang menentukannya. He he he!

Saturday, May 1, 2010

SEMAKAN KEPUTUSAN PERMOHONAN KEMASUKAN KE IPTA SESI 2010/2011

Semakan keputusan permohonan kemasukan ke IPTA sesi 2010/2011 lepasan SPM dan setaraf dengannya boleh dibuat bermula pada hari ini di laman web UPU atau klik di url berikut: https://online.mohe.gov.my/upu/online1011/keputusan/

Sementara itu, tarikh semakan keputusan bagi Program Pengajian Lepasan STPM/Setaraf ialah pada MINGGU KE-3 JUN 2010 mulai jam 12.00 tengah hari.