Tuesday, November 27, 2012
Cerita Kejayaan Anak Muda Malaysia di Luar Negara
MINGGUAN MSTAR
Khamis November 15, 2012
Kayuh Bicycles Jadikan Izzat Rahman Terkenal Di Philadelphia
Sifat inilah yang menjadikan usahawan muda dari Malaysia, Izzat Rahman, mudah memperoleh kawan dan disenangi pelbagai pihak.
Sebagai pemilik kedai menjual dan membaik pulih basikal di tengah-tengah bandar raya yang juga dikenali sebagai City of Brotherly Love and Sisterly Affection ini, Izzat akan menyambut kedatangan rakan dan pelanggannya dengan senyuman dan penuh bersopan santun.
Apabila pengerusi Mara Datuk Seri Idris Jusoh merasmikan kedainya, "Kayuh Bicycles LLC" pada 2 November, boleh dikatakan segenap lapisan penduduk kawasan kejiranan itu mengunjungi kedai Izzat untuk mengucapkan tahniah kepadanya.
Mentornya, Pengarah Eksekutif Institut Inovasi dan Keusahawanan di Temple University Jaine Lucas, juga mengunjungi Izzat untuk mengucapkan tahniah kepadanya.
Pegawai kanan Jabatan Perdagangan Philadelphia Rojer Kern pula melahirkan perasaan bangganya kerana Izzat memainkan peranan penting untuk menceriakan suasana di kawasan itu.
Dua editor muda majalah, Gina Swindler dan Heather Jones, mengunjungi kedai Izzat untuk menyerahkan beberapa naskhah majalah "CRED", yang memuatkan artikel tentang usahawan muda ini hasil tulisan seorang pelajar berusia 14 tahun bernama Darrien Johnson.
Tiga pelukis mural dari Amber Art - Willis Nomo, Keir Johnston dan Ernel Martinez - mengabadikan lukisan yang memaparkan aksi seorang penunggang basikal di dinding kedai berkenaan.
Suasana meriah di kedai itu menarik minat mereka yang lalu-lalang untuk singgah dan mengamati lukisan berkenaan, termasuk Idris dan pelajar tajaan Mara dari Malaysia di Pennsylvania, New York dan New Jersey, yang berada di bandar raya ini untuk menghadiri perjumpaan dengan Idris.
Oleh kerana mempunyai tiga pekerja, Kayuh Bicycles layak memohon geran untuk menambah baik dan menjadikan premisnya cekap tenaga.
Melalui geran $4,500 yang diterima daripada Mara, Izzat merancang untuk memasang papan tanda dan sengkuap di kedainya yang terletak di persimpangan antara 19th and West Girard Avenue, yang sentiasa sibuk.
Kedai lot tepi ini terletak dalam lingkungan dua batu dari beberapa institusi pengajian termasuk kampus utama Temple University, Community College of Philadelphia, Girard College dan St. Joseph's Preparatory.
Pengarah Mara Amerika Razak Aziz gembira dengan kejayaan Izzat dan yakin perniagaannya akan terus berkembang.
Sejajar dengan temanya untuk menggabungkan sukan yang sihat dengan pemakanan sihat, pelanggan Izzat yang sentiasa bertambah jumlahnya, akan berpeluang menikmati hidangan dan minuman berkhasiat di sebuah kafe yang akan diusahakan anak muda ini.
"Saya ingin menyemai kesedaran tentang pentingnya menunggang basikal dengan selamat dan mengambil makanan yang sihat," kata Izzat ketika menyajikan pelbagai jenis muffin dan skon organik kepada hadirin pada majlis itu.
Usahawan inovatif ini memperoleh ijazah dalam jurusan keusahawanan, dengan minor dalam pengurusan sistem maklumat, dari Temple University, awal tahun ini.
Izzat mempelajari selok-belok perniagaan dariada emaknya, Puan Sri Fauziah Ismail, pemilik Bluwitte Enterprise, sebuah butik di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.
"Saya masih ingat bagaimana saya menolong mengangkut kain dan barangan seramik yang dijualnya di pasar lambak ketika emak mula-mula berniaga dulu," katanya.
Izzat juga sentiasa menjadikan nasihat bapanya, Tan Sri Abdul Rahman Mamat, bekas ketua setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, sebagai petua untuk lebih berjaya dalam kehidupan.
Abdul Rahman menasihati anaknya ini supaya tidak hanya bercita-cita untuk makan gaji, tetapi bekerja sendiri, bagi mencontohi nabi Muhammad (s.a.w) yang menjalankan perniagaan sendiri kerana "ia memberi lebih banyak manfaat bukan sahaja kepada diri sendiri, tetapi juga masyarakat."
Izzat bernasib baik kerana mendapat khidmat tiga mekanik berpengalaman - Paul Hill, Carl McKinney dan Rick Ray - orang yang pernah memberi tunjuk ajar kepadanya ketika menjalani latihan di sebuah kedai basikal ketika menuntut di universiti dulu.Kedai berkenaan terpaksa ditutup apabila pemiliknya meningal dunia.
Selepas beberapa bulan menyibukkan diri membaiki basikal di tingkat bawah tanah pangsapuri yang disewanya, Izzat akhirnya memperoleh keyakinan untuk membuka kedai sendiri dan mempelawa ketiga-tiga mekanik itu bekerja dengannya di Kayuh Bicycles.
Pada mulanya, anak muda ini mengemukakan rancangan untuk membuka kedai berkenaan kepada profesornya di Temple University, tetapi idea itu tidak mendapat sambutan baik.
Selepas itu, Izzat dan rakannya mengemukakan rancangan perniagaan tersebut kepada "Be Your Own Boss Bowl", satu pertandingan rancangan perniagaan tahunan anjuran Fox School of Business dan terpilih ke pusingan akhir.
Pencapaian itu memberi peransgang kepada Izzat untuk membuka Kayuh Bicycles pada Jun tahun ini dengan modal yang disediakan keluarga dan rakannya.
Kakaknya, Zihan, yang kini menetap di Boston, Massachusetts, membantu menghasilkan rekaaan dalaman kedai itu.
Sejak memulakan perniagaan, kisah Kayuh Bicycles termuat dalam beberapa penerbitan tempatan termasuk CRED, Naked Philly, Temple News, Thrillist, Her Campus dan Urban Velo.
Izzat juga dijemput memberi ceramah di kelab pelajar, Temple University dan Penn State University tentang perniagaannya itu.
Walaupun ada pihak yang meragui daya maju perniagaannya pada masa akan datang, namun Izzat mendapat sokongan padu daripada keluarga, rakan, mentor dan pelanggannya yang yakin bahawa kegiatan menunggang basikal tidak akan terkubur.
Kini, Izzat meraih pendapatan kira-kira US$7,000 sebulan dan berharap jumlah ini akan meningkat melalui penyediaan pelbagai produk berbasikal dan perkhidmatan tambahan seperti menyewa basikal kepada pelajar.
Menurut Bicycle Coalition of Greater Philadelphia, dari tahun 2000 hingga 2009, jumlah pengguna basikal meningkat 151 peratus.
Berikutan kesesakan lalu lintas yang kini menjadi sebahagian daripada ciri bandar raya ini, ditambah pula dengan kekurangan kawasan letak kenderaan dan kenaikan harga minyak, menunggang basikal sudah pasti merupakan kaedah pengangkutan yang murah.
National Sporting Goods Association melaporkan bahawa industri basikal di Amerika mencatat perolehan US$5.8 bilion. Berita ini sudah pasti membuatkan Izzat tersenyum lebar. -BERNAMA
Sunday, September 23, 2012
Subscribe to:
Posts (Atom)