Saturday, June 13, 2009

Sesi Baru Kemasukan ke IPTA/IPTS 2009

Kira-kira jam 9.00 mlm 12 Jun 2009 keluar dari Restoran Pizza Hut di JJ Bukit Tinggi , saya disapa seorang pelajar Tingkatan 6 Atas Kemanusiaan 2 2008. Beliau mengucapkan terima kasih kepada saya kerana pada hujung bulan ini akan mengikuti Program TESL di USM. Setelah mengucapkan tahniah dan berbual sekejap saya beredar bersama anak-anak untuk menonton filem 'Jangan Pandang Belakang Congkak'. Sebagai seorang guru, hati kecil saya puas sekali apabila mendapat berita anak didik kita berjaya ke 'U'.

Sesi baru kemasukan ke IPTA/IPTS 2009 akan bermula akhir bulan ini. Saya mengucapkan tahniah kepada adik-adik/anak-anak pelajar khususnya dari SMKTPG yang mendapat tawaran kemasukan ke IPTA/IPTS sesi ini. Untuk mereka yang akan masuk 'U' sesi ini anggaplah ini sebagai titik mula kejayaan anda. Kehidupan sebagai mahasiswa di 'U' akan menjadikan anda lebih dewasa dan akan banyak yang dipelajari dalam hidup ini. Yang penting kejayaan tidak datang 'bergolek'!
Untuk adik-adik/anak-anak yang gagal mendapat tempat di 'U' pada sesi ini jangan berputus asa. Kegagalan hari ini bukan bermakna kita akan gagal selama-lamanya. Masih anda ingat penerima anugerah Maulidur Rasul tahun ini iaitu Profesor Dr Sidek Baba yang hanya memperoleh gred 3 dalam SPM dan mengambil STPM sebanyak 7 kali sehingga akhirnya kini menjadi Profesor Pendidikan di UIAM. Yang ingin kita ambil pengajarannya ialah beliau berjaya dalam pendidikan dan kerjaya setelah mengambil STPM sebanyak 7 kali. Semangat seperti ini yang boleh kita contohi. Jika ada kemahuan di situ ada jalan. Maklumat berhubung Prof Dr Sidek Baba boleh diakses melalui url berikut: http://ms.wikipedia.org/wiki/Sidek_Baba#Tokoh_Maulidur_Rasul

No comments: