Alhamdulillah pada 25 Oktober 2008 bersamaan hari Sabtu pihak SYABAS telah menyambung bekalan air di rumah seorang warga yang saya nukilkan pada Kisah di sebalik Banjir yang lepas. Hj Misnan selaku ketua kampung telah melalui pelbagai karenah birokrasi sebelum penyambungan paip dapat dibuat. Usaha beliau telah membuahkan hasil setelah dua kali naik pejabat SYABAS dan bertemu sendiri pegawai yang berkenaan. Hasilnya bekalan air paip telah dapat disambung semula semalam walaupun mengikut prosedur sekurang-kurangnya perlu mengambil masa 5 hari bekerja dari tarikh permohonan penyambungan semula. Terima kasih kepada pihak SYABAS kerana mempercepat proses ini. Kini keluarga tersebut dapat menikmati bekalan air terus ke rumah mereka setelah 3 tahun tidak dinikmati. Pada waktu itu saya menemani bonda di wadnya dan 'discharge' dari hospital tengah hari semalam. Petang semalam sepulang daripada membawa pulang bonda dari hospital saya bersama isteri ke rumah keluarga berkenaan dan tergambar wajah ceria keluarga tersebut. Alhamdulillah keluarga tersebut sedikit sebanyak dapat kami tolong dan pembedahan ibu juga telah selamat. Saya akan nukilkan kisah di sebalik pembedahan ibu pada kesempatan yang lain kerana ada pengalaman yang boleh dikongsi dan kita renungkan bersama.
No comments:
Post a Comment