Kayuh Bicycles Jadikan Izzat Rahman Terkenal Di Philadelphia
Mekanik berpengalaman Rick Ray, Paul Hill dan usahawan muda, Izzat
Rahman bergambar di hadapan kedainya, Kayuh Bicycles. Kedai ini mula
dibuka sejak Jun 2012. -- fotoBERNAMA
PHILADELPHIA (PENNSYLVANIA): Berbudi bahasa dan pandai
menyesuaikan diri dengan keadaan setempat amat penting bagi manusia,
lebih-lebih lagi apabila berada di rantau orang.
Sifat inilah yang menjadikan usahawan muda dari Malaysia, Izzat Rahman, mudah memperoleh kawan dan disenangi pelbagai pihak.
Sebagai pemilik kedai menjual dan membaik pulih basikal di
tengah-tengah bandar raya yang juga dikenali sebagai City of Brotherly
Love and Sisterly Affection ini, Izzat akan menyambut kedatangan rakan
dan pelanggannya dengan senyuman dan penuh bersopan santun.
Apabila pengerusi Mara Datuk Seri Idris Jusoh merasmikan kedainya,
"Kayuh Bicycles LLC" pada 2 November, boleh dikatakan segenap lapisan
penduduk kawasan kejiranan itu mengunjungi kedai Izzat untuk mengucapkan
tahniah kepadanya.
Mentornya, Pengarah Eksekutif Institut Inovasi dan Keusahawanan di
Temple University Jaine Lucas, juga mengunjungi Izzat untuk mengucapkan
tahniah kepadanya.
Pegawai kanan Jabatan Perdagangan Philadelphia Rojer Kern pula
melahirkan perasaan bangganya kerana Izzat memainkan peranan penting
untuk menceriakan suasana di kawasan itu.
Usahawan muda kelahiran Malaysia, Izzat Rahman membuka kedai
basikalnya pada Jun lalu dengan menggunakan dana daripada keluarga dan
rakan-rakannya,
Pengarah Pendidikan dan Keselamatan Bicycle Coalition of Greater
Philadelphia Diana Owens Steif juga datang dengan menunggang basikal
bersama rakannya, Steve Taylor, untuk mengucapkan tahniah kepada Izzat.
Dua editor muda majalah, Gina Swindler dan Heather Jones, mengunjungi
kedai Izzat untuk menyerahkan beberapa naskhah majalah "CRED", yang
memuatkan artikel tentang usahawan muda ini hasil tulisan seorang
pelajar berusia 14 tahun bernama Darrien Johnson.
Tiga pelukis mural dari Amber Art - Willis Nomo, Keir Johnston dan
Ernel Martinez - mengabadikan lukisan yang memaparkan aksi seorang
penunggang basikal di dinding kedai berkenaan.
Suasana meriah di kedai itu menarik minat mereka yang lalu-lalang
untuk singgah dan mengamati lukisan berkenaan, termasuk Idris dan
pelajar tajaan Mara dari Malaysia di Pennsylvania, New York dan New
Jersey, yang berada di bandar raya ini untuk menghadiri perjumpaan
dengan Idris.
Oleh kerana mempunyai tiga pekerja, Kayuh Bicycles layak memohon
geran untuk menambah baik dan menjadikan premisnya cekap tenaga.
Melalui geran $4,500 yang diterima daripada Mara, Izzat merancang
untuk memasang papan tanda dan sengkuap di kedainya yang terletak di
persimpangan antara 19th and West Girard Avenue, yang sentiasa sibuk.
Kedai lot tepi ini terletak dalam lingkungan dua batu dari beberapa
institusi pengajian termasuk kampus utama Temple University, Community
College of Philadelphia, Girard College dan St. Joseph's Preparatory.
Pengarah Mara Amerika Razak Aziz gembira dengan kejayaan Izzat dan yakin perniagaannya akan terus berkembang.
Sejajar dengan temanya untuk menggabungkan sukan yang sihat dengan
pemakanan sihat, pelanggan Izzat yang sentiasa bertambah jumlahnya, akan
berpeluang menikmati hidangan dan minuman berkhasiat di sebuah kafe
yang akan diusahakan anak muda ini.
"Saya ingin menyemai kesedaran tentang pentingnya menunggang basikal
dengan selamat dan mengambil makanan yang sihat," kata Izzat ketika
menyajikan pelbagai jenis muffin dan skon organik kepada hadirin pada
majlis itu.
Usahawan inovatif ini memperoleh ijazah dalam jurusan keusahawanan,
dengan minor dalam pengurusan sistem maklumat, dari Temple University,
awal tahun ini.
Izzat mempelajari selok-belok perniagaan dariada emaknya, Puan Sri
Fauziah Ismail, pemilik Bluwitte Enterprise, sebuah butik di Taman Tun
Dr Ismail, Kuala Lumpur.
"Saya masih ingat bagaimana saya menolong mengangkut kain dan
barangan seramik yang dijualnya di pasar lambak ketika emak mula-mula
berniaga dulu," katanya.
Izzat juga sentiasa menjadikan nasihat bapanya, Tan Sri Abdul Rahman
Mamat, bekas ketua setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan
Industri, sebagai petua untuk lebih berjaya dalam kehidupan.
Abdul Rahman menasihati anaknya ini supaya tidak hanya bercita-cita
untuk makan gaji, tetapi bekerja sendiri, bagi mencontohi nabi Muhammad
(s.a.w) yang menjalankan perniagaan sendiri kerana "ia memberi lebih
banyak manfaat bukan sahaja kepada diri sendiri, tetapi juga
masyarakat."
Izzat bernasib baik kerana mendapat khidmat tiga mekanik
berpengalaman - Paul Hill, Carl McKinney dan Rick Ray - orang yang
pernah memberi tunjuk ajar kepadanya ketika menjalani latihan di sebuah
kedai basikal ketika menuntut di universiti dulu.Kedai berkenaan
terpaksa ditutup apabila pemiliknya meningal dunia.
Selepas beberapa bulan menyibukkan diri membaiki basikal di tingkat
bawah tanah pangsapuri yang disewanya, Izzat akhirnya memperoleh
keyakinan untuk membuka kedai sendiri dan mempelawa ketiga-tiga mekanik
itu bekerja dengannya di Kayuh Bicycles.
Pada mulanya, anak muda ini mengemukakan rancangan untuk membuka
kedai berkenaan kepada profesornya di Temple University, tetapi idea itu
tidak mendapat sambutan baik.
Selepas itu, Izzat dan rakannya mengemukakan rancangan perniagaan
tersebut kepada "Be Your Own Boss Bowl", satu pertandingan rancangan
perniagaan tahunan anjuran Fox School of Business dan terpilih ke
pusingan akhir.
Pencapaian itu memberi peransgang kepada Izzat untuk membuka Kayuh
Bicycles pada Jun tahun ini dengan modal yang disediakan keluarga dan
rakannya.
Kakaknya, Zihan, yang kini menetap di Boston, Massachusetts, membantu menghasilkan rekaaan dalaman kedai itu.
Sejak memulakan perniagaan, kisah Kayuh Bicycles termuat dalam
beberapa penerbitan tempatan termasuk CRED, Naked Philly, Temple News,
Thrillist, Her Campus dan Urban Velo.
Izzat juga dijemput memberi ceramah di kelab pelajar, Temple University dan Penn State University tentang perniagaannya itu.
Walaupun ada pihak yang meragui daya maju perniagaannya pada masa
akan datang, namun Izzat mendapat sokongan padu daripada keluarga,
rakan, mentor dan pelanggannya yang yakin bahawa kegiatan menunggang
basikal tidak akan terkubur.
Kini, Izzat meraih pendapatan kira-kira US$7,000 sebulan dan berharap
jumlah ini akan meningkat melalui penyediaan pelbagai produk berbasikal
dan perkhidmatan tambahan seperti menyewa basikal kepada pelajar.
Menurut Bicycle Coalition of Greater Philadelphia, dari tahun 2000 hingga 2009, jumlah pengguna basikal meningkat 151 peratus.
Berikutan kesesakan lalu lintas yang kini menjadi sebahagian daripada
ciri bandar raya ini, ditambah pula dengan kekurangan kawasan letak
kenderaan dan kenaikan harga minyak, menunggang basikal sudah pasti
merupakan kaedah pengangkutan yang murah.
National Sporting Goods Association melaporkan bahawa industri
basikal di Amerika mencatat perolehan US$5.8 bilion. Berita ini sudah
pasti membuatkan Izzat tersenyum lebar.
-BERNAMA